SELAMAT HARI MALAYSIA KE – 61: MARTABATKAN NEGARA BERLANDASKAN SEMANGAT ISLAH


Pada setiap tarikh 16 September, rakyat tidak akan melepaskan peluang untuk menyambut Hari Malaysia pada setiap tahun. Kini, sudah 61 tahun Malaysia dibentuk dan sudah tiba masanya untuk kita semua membawa pembaharuan di dalam negara ini. Allah SWT berfirman:


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (QS Al – Ra’d: 11).


Usaha perubahan mesti dilaksanakan melalui semangat reformasi (islah) dan ketekunan (al-Itqan fi al-amal). Allah SWT menjelaskan bahawa tindakan menegakkan keadilan dan memelihara kemakmuran masyarakat adalah amalan yang tinggi darjatnya manakala usaha melakukan kebaikan biasanya melalui jalan yang sukar dan berliku. Ajaran Islam menuntut umatnya agar melaksanakan sesuatu pekerjaan dan tugasan dengan bersungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan serta disiplin yang ditetapkan. 


Inilah yang dilaksanakan oleh pentadbiran Malaysia pada hari ini. Seruan Perdana Menteri agar langkah reformasi dalam pentadbiran awam akan dilaksanakan segera seiring dengan peredaran zaman bagi mendokong agenda pembaharuan ke arah kebaikan. Penerapan budaya kerja baharu perlu digerakkan melalui nilai-nilai H.E.M.A.T dalam penyampaian tugas iaitu Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran. Selain itu, pendekatan memberikan keutamaan kepada perkara paling penting atau fiqh al-aulawiyat dalam penyampaian perkhidmatan juga harus diterapkan.


Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang sudah berkembang mindanya, kita harus menyahut seruan ini dalam menjadikan Malaysia lebih maju seiring dengan zaman tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan ketaatan kita kepada suruhan agama. Semoga hari Malaysia yang kita sambut setiap 16 September akan memberi seribu pengertian kepada kita khususnya umat Islam dan rakyat Malaysia umumnya tentang peri pentingnya perasaan cinta kepada negara.


SELAMAT HARI MALAYSIA

“MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA”


Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (7 September 2024)

Comments