Susulan laporan berita mengenai penahanan 49 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki terlibat dengan sindiket ‘counter setting’ warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan rampasan wang tunai hampir RM800,000 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dua pegawai gred rendah JIM, ia membuktikan bahawa ‘barah’ rasuah di negara ini sudah semakin ke tahap yang membimbangkan.
Mengapa? Mengapa suka makan rasuah? Kenapa perlu ada rasuah dalam hidup kita sedangkan kita tahu bahawa ianya adalah dosa besar dan haram. Allah SWT telah memberi peringatan kepada umat Islam mengenai rasuah. FirmanNya:
“Janganlah kamu memakan harta antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu menghulur suapan kepada hakim-hakim (penguasa-penguasa) dengan niat untuk mendapatkan sebahagian daripada harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (QS Al – Baqarah: 188).
Bahkan, Rasulullah SAW bersabda:
“Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (HR At – Tirmidzi).
Manusia yang sanggup melakukan jenayah rasuah, mereka ini tidak takut akan ancaman dan laknat Allah dan Rasul-Nya kerana mereka ini hanya mementingkan diri sendiri, bersifat rakus, tamak, sanggup mendapatkan sesuatu yang bukan hak mereka sehingga menggadai maruah diri demi memenuhi nafsu mengumpul kekayaan dengan jalan yang salah dan melakukan penganiayaan.
Golongan yang mengamalkan politik wang tidak akan memilih para pemimpin dan pentadbir yang berintegriti. Sifat integriti itu hanya terdapat pada kalangan mereka yang beriman dan budiman bukan sekadar mempunyai ilmu sahaja, malah kini mereka yang memiliki sijil atau ijazah pun boleh terlibat dengan rasuah. Tanpa sedar, golongan ini sebenarnya telah berlaku zalim terhadap diri sendiri dan orang lain serta mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan atas bahu-bahu mereka.
Rezeki yang diperolehi daripada sumber haram diberikan pula kepada anak, isteri dan ahli keluarga, maka bagaimanakah hendak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, keluarga yang ada mawaddah dan sakinah? Lebih malang lagi, hilangnya keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak untuknya.” (HR Baihaqi).
Ketahuilah wahai umat Islam, perbuatan rasuah merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Oleh itu semua pihak diseru agar sama-sama berusaha memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius. Ini selaras dengan tuntutan syara’, juga mendokong hasrat kerajaan dalam usaha meningkatkan integriti serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment