Mutakhir ini, begitu banyak sekali akaun – akaun media sosial yang mempersendakan para pemimpin negara. Bukan sahaja kepada pemimpin – pemimpin kabinet negara, bahkan juga kepada pemerintah utama yang juga merupakan Ketua Negara, Yang Di – Pertuan Agong. Di manakah sifat hormat dan taat kita kepada pemerintah negara sehinggakan dengan beraninya kita sebagai rakyat marhaen mempersendakan pemerintah. Bukankah di dalam Rukun Negara kedua telah ditetapkan untuk “setia kepada Raja dan negara”?
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu.” (QS An – Nisa: 59).
Negara Malaysia kekal kukuh dan stabil jika seluruh rakyat menghormati institusi raja serta tidak melakukan sebarang tindakan yang melebihi batasan dan mempermainkan institusi raja di Malaysia sama ada melalui ucapan, kenyataan mahupun tindakan yang dianggap mencabar institusi raja.
Apa yang kita kecapi pada hari ini selepas mengharungi episod kelam Covid – 19 semuanya hasil dari kebijaksanaan para pemimpin dan pemerintah negara ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kukuh dan stabil. Usaha untuk mengukuhkan nilai ringgit serta membawa masuk banyak pelaburan luar negara dan keupayaan meningkatkan pelaburan domestik mencatatkan pertumbuhan luar biasa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Mendengar dan mentaati (Pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati.” (HR Bukhari).
Oleh itu, taatlah kepada pemimpin dan pemerintah negara kita dan jangan sesekali kita menderhakai selagi mana kita tidak disuruh melakukan sesuatu yang salah. Mentaati pemimpin adalah kewajipan yang ditetapkan oleh syarak selagi tidak diperintah melakukan perkara maksiat. Namun begitu, ia tidak menghalang daripada menegur pemimpin selagi teguran itu mengikut kepada etika dan cara yang ditetapkan.
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro, 30 Ogos 2024
(https://www.hmetro.com.my/addin/2024/08/1128514/kewajipan-rakyat-curah-taat-setia-sebagai-ulil-amri)
Comments
Post a Comment