UJIAN ALLAH SWT SEBAGAI ISYARAT UNTUK UMAT ISLAM PERKUKUHKAN KEIMANAN

 


Allah SWT uji tanda sayang. Kita memang sudah terbiasa mendengar perkataan tersebut. Namun, di sebalik ujian yang melanda, ia juga petanda isyarat untuk umat Islam memperkukuhkan lagi keimanan kepadaNya. Salah satu daripada bentuk ujian Allah SWT ke atas hamba-Nya adalah melalui menimpakan musibah. Musibah bermaksud bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain, sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan kesedihan serta penderitaan kepada pihak yang menanggungnya seperti musibah tanah jerlus, kebakaran, banjir, ribut taufan, kemalangan, kerugian, kematian dan sebagainya.

Allah SWT berfirman:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (QS Al – Baqarah: 155).

Setiap hamba Allah SWT akan diuji. Ujian Allah SWT itu berlaku dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Semua ini untuk membuktikan siapa yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa jua keadaan ditempuhinya. Allah SWT memberikan ujian untuk melihat kekuatan akidah hambaNya, sama ada hanya bertuhankanNya dalam keadaan senang-lenang sahaja atau terus bertuhankanNya dalam apa jua keadaan sekalipun. Orang-orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran akan dianugerahkan balasan pahala. Malah, Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik seperti yang dijelaskan dalam hadis sebelum ini.

Setiap umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul iaitu dengan berakidahkan bahawa semua makhluk yang wujud di atas muka bumi ini adalah hamba dan milik Allah SWT. untuk itu, kita hendaklah meredai apa jua musibah yang menimpa kita. Sebenarnya di sebalik musibah itu mempunyai hikmah yang besar, di mana kita sendiri tidak mengetahuinya.

Ujian kehidupan ini sebenarnya adalah perjalanan hidup yang pasti dan mesti dilalui oleh setiap insan penghuni bumi Allah SWT ini. Setiap insan sewajarnya bersiap sedia kerana ujian itu kadang-kadang menjelma tanpa diundang dan tidak disedari. Ini kerana ujian itu berada di bawah ketentuan dan ketetapan Ilahi. Walau apa pun dugaan yang kita hadapi, ingatlah kepada Allah SWT sentiasa dalam semua keadaan, mudah-mudahan rahmat dan hidayahNya menemani setiap detik hidup insan yang beriman. 

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (5 September 2024)


Comments