Ajaran Syiah yang difatwakan sebagai sesat di negara ini tidak seharusnya diamalkan dan disamakan dengan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ajaran Syiah juga tidak termasuk dalam hak kebebasan beragama yang boleh diamalkan sebagaimana agama-agama lain dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana fahaman Syiah sudah difatwakan sesat, maka jelas ianya tidak boleh diamalkan, malah di sisi Islam sendiri ia sudah terbukti menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.
Oleh itu, ajaran Syiah tidak boleh disebar dan diamalkan di Malaysia walaupun diadakan secara tertutup. Ajaran ini boleh memecah-belahkan masyarakat Islam di Malaysia jika ia tidak dikawal secara bersungguh. Meskipun ada pihak yang mengisukan bahawa ajaran Syiah sepatutnya diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka selagi pihak berkenaan tidak menyebarkan ajaran itu kepada umat Islam lain, namun perlu sedar bahawa mazhab lain pun tidak dibenarkan untuk diamalkan di Malaysia selain berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, inikan pula ajaran yang sememangnya bukan dari mazhab dalam Islam.
Justeru itu, dengan adanya Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah memutuskan bahawa semua jenis ajaran Syiah adalah sesat, maka segala dakwaan yang mengatakan terdapat fahaman Syiah mempunyai persamaan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tertolak. Umat Islam perlu cakna isu pengharaman ajaran Syiah ini kerana kesesatan akidahnya boleh mempengaruhi seseorang Muslim tersebut jika lalai walau seketika. Berhati-hatilah.
Sumber: Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan Sinar Harian
Comments
Post a Comment