ANTI HADIS DAN LIBERAL ADALAH GOLONGAN ALIRAN PEMIKIRAN MODEN YANG BERTUHANKAN AKAL SECARA MELAMPAU

 


Gerakan aliran pemikiran moden muncul di kebanyakan dunia Islam pada abad ke 19 dan 20. Gerakan ini muncul dengan tujuan untuk melakukan pembaharuan dalam pemikiran masyarakat Islam bagi membolehkan mereka menyaingi kemajuan pemikiran yang dibawa oleh Barat. Seruan mereka yang utama ialah ke arah pentafsiran semula sebahagian ajaran-ajaran Islam yang dilihat tidak praktikal untuk dilaksanakan pada masa kini.

Namun, kelampauan mereka dalam penggunaan akal semata-mata menyebabkan mereka mentafsirkan ajaran agama sehingga merubah perkara-perkara prinsip dalam Islam yang telah disepakati oleh para ulama sejak sekian lama. Mereka menggunakan istilah liberalisasi bagi menunjukkan bahawa masyarakat Islam sedang terbelenggu dengan ikatan tradisi. Lebih buruk lagi, ada golongan daripada gerakan ini yang menolak hadis-hadis nabi dengan tuduhan yang berdasarkan logik akal semata-mata.

Hal ini menunjukkan mereka telah terpengaruh dengan neraca pengukuran Barat dalam membuat penilaian kemuliaan dan kehinaan seseorang. Implikasinya, neraca material digunakan untuk buat ukuran. Sesiapa yang berharta, popular, berpangkat dan berkuasa dianggap orang yang mulia. Sebaliknya, sesiapa yang miskin, tidak ternama, tidakberpangkat dan tiada sebarang kuasa dianggap orang yang hina. 

Kesimpulannya, aliran pemikiran golongan anti hadis dan liberal di Malaysia sedang hebat berkembang dan berjaya mengumpul pengikut yang ramai. Bahaya pemikiran aliran ini ialah kecenderungan mereka untuk melewati parameter keagamaan apabila mereka menuntut tafsiran Islam yang pluralis dan subjektif, pemisahan politik dan agama serta pembebasan dari tafsiran ulama silam. Justeru itu, umat Islam perlu berhati-hati dengan penyebaran ideologi ini kerana terbukti pergantungan melampau aliran ini kepada penggunakan akal tanpa diseimbangkan dengan kefahaman al-Quran dan hadis yang sebenar.

Sumber: Jurnal Usuludin, NO.66 – Universiti Teknologi Malaysia


Comments