BAHANA BERLAKU ZALIM


Setiap umat Islam telah dianjurkan untuk sentiasa bersikap baik dan mulia dan dilarang melakukan kezaliman kepada diri sendiri dan juga makhluk Allah SWT yang lain. Ramai di kalangan kita yang mengambil mudah, mungkin ramai yang menyangka zalim itu hanya sekadar menumpahkan darah atau mengambil hak orang lain. 

Akan tetapi, kita tidak sedar bahawa perbuatan zalim itu boleh berlaku pada sekecil – kecil perkara yang bagi kita mungkin ia sekadar perkara biasa. Contohnya, buang sampah sekecil puntung rokok di tepi jalan juga boleh dianggap zalim. Hal ini kerana kita dianggap zalim kepada alam sekitar ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” (QS Ibrahim: 42).

Ayat di atas sudah jelas menyatakan bahawa Allah SWT sangat membenci orang yang berlaku zalim dan memberi amaran keras kepada si pelaku kezaliman. Kriteria utama sifat atau perbuatan zalim ia akan memberikan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain. Perbuatan zalim yang dilakukan mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Terdapat tiga jenis kezaliman yang sering dilakukan manusia:

1) Zalim kepada Allah SWT dengan kufur, syirik dan nifak. Maksudnya di sini kita tidak menyembah Allah SWT dengan sepatutnya bahkan melakukan dosa yang paling besar.
2) Zalim terhadap diri sendiri dengan dosa dan maksiat.
3) Zalim sesama manusia. 

Sama ada kita sedar ataupun tidak, berapa banyak kesalahan yang kita lakukan tanpa sedar. Cukup kita tengok di laman – laman media sosial, berapa banyak penganiayaan berlaku disebabkan jari jemari dan ucapan kita. Apa yang lebih menakutkan, kadang – kadang kita Nampak dan rasa apa yang kita lakukan itu betul dan hak sedangkan apa yang kita buat itu sebenarnya adalah satu fitnah, persepsi, sangka buruk yang kita timbulkan. Rasulullah SAW bersabda:

“Hindari kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu kegelapan yang berlapis – lapis pada hari kiamat.” (HR Muslim).

Malah dalam sebuah lagi hadis sabda Rasulullah SAW:

“Barang siapa yang melakukan kezaliman kepada saudaranya, hendaklah dia membebaskan dirinya daripada kezaliman tersebut dengan meminta maaf atau menyelesaikannya segera pada hari ini kerana sesungguhnya pada hari kiamat kelak dinar dan dirham tak ada harta yang mampu memberi manfaat sedikit pun sebelum amal solehnya diambil untuk saudaranya itu bagi menebus kezaliman yang dilakukan sampai jika dia tidak mempunyai kebaikan lagi, maka akan diambil kejahatan yang dimiliki saudaranya itu yang dituduh dan dizaliminya itu lalu dilemparkan ke atas dirinya.” (HR Bukhari).

Maka dari itu, janganlah kita sesekali berlaku zalim kerana kezaliman itu sangat rapat dengan iblis. Perbuatan zalim merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. 

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments