Radikalisasi diri berlaku apabila individu terdedah kepada propaganda ekstremis dan mula mempercayai ideologi disebaliknya. Mereka kemudian bertindak mengikut ideologi tersebut yang sering menyeru agar serangan ganas dilakukan ke atas institusi, orang atau kumpulan tertentu termasuk warganegara, kumpulan daripada kaum atau agama tertentu atau pihak pemerintah.
Usia individu yang menjadi radikal secara sendiri juga semakin muda. Sejak 2015, seramai 11 orang warganegara di bawah umur 20 tahun yang menjadi radikal secara sendiri. Individu termuda yang ditahan setelah menjadi radikal secara sendiri sekitar 16 tahun.
Laman web dan wadah media sosial adalah pendaya utama ideologi radikal bagi mempengaruhi golongan rentan (wanita, warga emas, orang kelainan upaya, orang miskin, belia, pelarian atau imigran). Namun, evolusi teknologi dan komunikasi telah menyebabkan golongan berpendidikan turut tidak terkecuali mudah menjadi radikal secara sendiri.
Sosial media yang mempunyai kandungan bersaiz kecil dan emotif mengekalkan daya tarikan ideologi radikal. Kemudahan akses memudahkan penyebaran bahan ekstremis secara meluas kepada pelbagai pihak tanpa tapisan. Wadah dalam talian juga memudahkan individu berjinak-jinak dengan bahan ekstremis memandangkan individu boleh ‘like’, komen, atau kongsi kandungan tersebut.
Apa yang boleh disimpulkan adalah tidak salah untuk berinteraksi di media sosial dengan mana-mana pihak sekalipun, namun biarlah ada batas sempadan supaya pemikiran tidak dipengaruhi dengan anasir-anasir yang boleh mendoktrinkan diri dengan pemahaman dan tingkahlaku radikal secara sendiri. Sesungguhnya perbuatan tersebut termasuk dalam tindakan yang melampau-lampau samada dari sudut agama mahupun negara kerana boleh memberi keburukan dalam banyak aspek termasuklah akidah, masyarakat, harta benda, keharmonian negara dan seumpamanya.
Sumber: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –OKT 2024
Comments
Post a Comment