FAHAMI FUNGSI ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN DAN PERINGKAT KEMENTERIAN


Baru – baru ini timbulnya isu di mana Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) menuntut agar tidak ditempatkan pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di setiap Kementerian Kerajaan Persekutuan. Artikel memandang perkara ini salah satu salah faham yang perlu dijelaskan dengan harmoni. Apa yang semua pihak perlu ketahui adalah penempatan pegawai di pelbagai kementerian adalah satu langkah penyelarasan aktiviti keagamaan seperti mana seluruh dasar kerajaan lain yang memerlukan peranan pegawai.

Berdasarkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Jadi, ini bermakna agama Islam wajar diberikan keutamaan dalam kementerian. Bukanlah bertujuan untuk ‘menghasut’ orang – orang di kementerian untuk obses dengan Islam sebaliknya ia langkah yang perlu apabila terdapat beberapa isu dan permasalahan berkaitan agama Islam yang memerlukan rujukan dan bimbingan khusus pegawai terlatih. Lagi pula pegawai yang ditempatkan sekarang ini bukanlah pegawai baru sebaliknya pegawai yang sedia ada yang sudah berkhidmat di dalam kementerian – kementerian sejak sekian lama.

Jadi, kenyataan dari MCCBCHST berkaitan dengan dakwaan penempatan pegawai JAKIM yang terbabit dalam soal dasar kementerian adalah tidak tepat sama sekali. Tugas pegawai – pegawai JAKIM yang ada di setiap kementerian itu adalah membantu sama ada dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian berkaitan. 

Semua tahu dan maklum umat Islam adalah penduduk majoriti di negara ini dan peratusan penjawat awam di setiap kementerian kerajaan adalah terdiri daripada golongan yang beragama Islam. Oleh itu, program pengisian rohani itu perlu buat umat Islam khususnya penjawat awam untuk menyeimbangkan antara urusan duniawi dan ukhrawi. 

Sedikit nasihat buat kepimpinan MCCBCHST, jangan cuba timbulkan isu polemik agama dengan kenyataan yang sama sekali tidak benar. Sebagai rakyat yang ingin hidup damai, hormati Perlembagaan Persekutuan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Fahami fungsi Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan dan fungsinya di peringkat kementerian. Pentadbiran kerajaan pada hari ini sangat adil dalam menyamaratakan hak setiap rakyat. Usah jadi “kaduk naik junjung”. 

Sumber: Laporan Harian Metro, 6 September 2024

 

Comments