Mutakhir ini, terdapat pihak yang dengan sesuka hati mencari, mendedahkan dan menyebarkan keaiban orang lain tanpa rasa bersalah. Hal ini bertambah parah apabila pihak mendedahkan keaiban itu ada perasan marah dan dendam dengan individu yang dibuka aibnya. Soal mendedahkan keaiban orang lain ini sangat dipandang berat oleh Islam. Islam melarang umatnya daripada mencari-cari keaiban orang lain dan mendedahkannya dengan sesuka hati. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (QS Al – Nur: 9).
Dek kerana itu, kita sebagai umat Islam dianjurkan untuk sentiasa menyimpan rahsia atau menutup kebaiban saudaranya. Lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas. Hal ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh mangsa itu sendiri serta masyarakat. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak." (HR Bukhari).
Ingat! Jangan kita terlampau ghairah menggali dan menyebarkan aib orang lain sedangkan aib kita sendiri tidak terpelihara. Cukup baik Allah SWT menjaga aib kita daripada terbuka, jadi atas alasan apa kita mahu membuka aib orang lain? Belajarlah agama sampai kamu tahu dan faham betapa besarnya dosa tajassus. Kenapa ia termasuk ke dalam dosa besar dan mengapa Allah SWT sebut mengenainya secara langsung di dalam Al – Quran.
Rasulullah SAW menilai bahawa mencari keaiban orang lain itu termasuk dalam perbuatan orang munafik yang menyatakan beriman dengan lidah, tetapi hatinya membenci. Kelak mereka akan dibebani dosa yang berat di hadapan Allah SWT. Segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Seandainya syariat Islam tidak dipedulikan, usaha untuk menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim dalam semangat kasih sayang yang tulen tidak akan tercapai. Sebaliknya akan wujud pula satu masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment