GISB atau Global Ikhwan Sdn. Bhd. adalah syarikat Bumiputera Islam yang diasaskan sejak tahun 2000 oleh bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad. Setelah kematiannya, Nasiruddin Mohd Ali kini mengambil alih menerajui syarikat GISB yang merangkumi anak-anak syarikat seperti Ikhwan TV, Rangkaian Bakeri GISB, Restoran dan Katering, Industri GISB, Harta dan Pembangunan GISB, Perundangan & Perkhidmatan GISB dan GISB Medicare.
Sebagai sebuah syarikat perniagaan yang menyediakan produk dan perkhidmatan bagi keperluan masyarakat Islam hampir di semua sektor serta perkembangan pesat di 16 buah negara telah menyebabkan sebahagian umat Islam yakin untuk membuat pelbagai urusan muamalat dengan syarikat ini dengan niat untuk membantu dan memajukan ekonomi umat Islam. Namun, ianya hanya memperalatkan agama menipu daya umat Islam yang lain demi kepentingan organisasi dan diri barisan pimpinan teratas.
Bukan sahaja berlindung di bawah nama ‘agama’ memperalat manusia dari sudut perniagaan, malah mereka turut mendoktrinkan akidah yang sesat kepada pengikut ajarannya yang berpegang kepada ajaran al-Arqam (telah difatwa haram). Kanak-kanak turut diperalatkan dari kecil mindanya dengan akidah yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah, diajar cara meliwat dan diliwat, didera, dipergunakan untuk meraih simpati orang ramai bagi kutipan derma, diarahkan bekerja tanpa gaji, dipisahkan daripada ibu bapa semenjak kecil dan seumpama dengannya.
Perkara tersebut adalah antara modus operandi GISB mengaburi mata masyarakat bagi meraih keuntungan zahir dan batin duniawi semata-mata, sebaliknya memanipulasikan agama yang melibatkan akidah dengan ajaran sesat al-Arqam akhirnya tersungkur selepas pihak berwajib berjaya membuat penahanan atas usaha dan laporan badan-badan NGO beserta mufti terlibat. Langkah-langkah pembendungan dan tindakan segera adalah perlu khususnya demi menyelamatkan akidah kanak-kanak yang menjadi mangsa kepentingan ‘manusia bertopengkan syaitan’.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia dan ecentral.my
Comments
Post a Comment