Mutakhir ini, terlalu banyak berita berkaitan dengan pembunuhan nyawa – nyawa yang tidak bersalah. Boleh dikatakan saban hari berita tentang pembunuhan manusia dari sekecil nyawa hingga yang paling tua berlaku disebabkan manusia akhir zaman kini semakin hilang pertimbangan. Namun begitu, sebagai umat Islam yang masih mempunyai kewarasan akal yang normal, kita dituntut untuk sentiasa menghargai nyawa manusia lainnya dan menyuburkan hati dengan perasaan kasih dan sayang.
Rasulullah SAW menegaskan agar umatnya bersifat kasih sayang dan belas ihsan kepada makhluk lain dalam banyak hadis. Antaranya, daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Nabi SAW bersabda:
"Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit." (HR Ahmad).
Orang yang bersifat kasih adalah mereka yang mempunyai rasa kasih dan belas terhadap makhluk Allah SWT di dalam hatinya terutama sesama Muslim, sebagaimana sifat sahabat Nabi SAW yang digambarkan dalam al-Quran:
"Bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam dan sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)." (QS Al – Fath: 29).
Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Ia juga secara tidak langsung akan menghindarkan tercetusnya sifat-sifat mazmumah dalam hubungan sesama manusia dan mengelakkan daripada berlakunya konflik dalam masyarakat seterusnya mengekalkan keharmonian.
Sesungguhnya begitu besar nikmat apabila kita saling berkasih sayang dan menghargai nyawa kerana Baginda SAW menyebutkannya di dalam hadis Baginda bahawa salah seorang yang dinaungi rahmat Allah SWT pada hari kiamat ialah mereka yang saling berkasih sayang.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment