Kelahiran ajaran sesat secara tidak langsung menjadi pengukur yang dapat menentukan tahap kelemahan seseorang muslim sejauh mana kemampuan mereka menilai antara ajaran yang hak dan batil. Apa yang nyata, segelintir masyarakat tanpa mengenal peringkat telah terkeliru lalu menerima ajaran dan pegangan ajaran sesat dengan menganggap sebagai sebahagian dari ajaran Islam kerana jahil tentang hakikat sebenar ajaran Islam.
Sebagai contoh mereka terperangkap dalam gerakan ajaran sesat iaitu dapat menerima konsep pengajaran yang bercanggah dengan syarak seperti:
i. Solat hanya memadai dengan niat sahaja, boleh dilakukan sambil berjalan, makan, bekerja dan sebagainya;
ii. Manusia keseluruhannya dari Allah SWT dan akan kembali menjadi Allah, bukannya makhluk ciptaan Allah SWT (mempunyai persamaan dengan ajaran Budhha yang kononnya manusia yang suci dan tidak berdosa akan kembali bersebati dalam zat Tuhan);
iii. Mengerjakan haji di Makkah adalah sunat sahaja; dsb
Percanggahan-percanggahan yang amat keterlaluan dengan syariat Islam seperti diajar Rasulullah SAW sudah jelas membuktikan bahawa ajaran sesat tersebut sengaja direka oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk memesongkan ajaran Islam yang sebenar. Justeru itu, penguatkuasa khususnya perlu mencari jalan untuk menghalang ajaran sesat berdasarkan enakmen jenayah syariah negeri masing-masing dan ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi pendidikan akidah sepenuhnya kepada anak sejak di usia kecil sebagai langkah awal membendung penyebaran ajaran sesat.
Sumber: Majlis Ugama Islam Kelantan
Comments
Post a Comment