Kebanyakan pelajar universiti di Eropah sebenarnya adalah ateis iaitu mengaku tidak percaya Tuhan itu wujud, atau agnostik iaitu tidak kisah Tuhan itu wujud atau tidak. Meskipun ramai golongan ateis menganggap mereka adalah golongan intelektual, namun hakikatnya ateis mereka hanyalah ikut-ikutan. Malah mendakwa merekalah punca berkembangnya bidang keilmuwan, sedangkan golongan mereka cuma muncul beberapa tahun yang lepas.
Bidang keilmuan yang menjadi mangsa rampasan ateis paling utama adalah sains. Mereka ‘hijack’ sains dengan mengatakan sains berkonflik dengan agama dan mengubah falsafah sains sehingga terlahirnya satu agama baru iaitu sainstisme. Sedangkan penulisan yang mempersembahkan konflik sains dan agama itu hanyalah timbul sekitar 200 tahun lepas. Sebelum ini orang agamalah yang mengembangkan sains. Contohnya, Ibn al-Haytam, al-Jazari, Isaac Newton, George Lemaitre, semuanya adalah orang beragama. Teori evolusi Darwin yang dianggap senjata utama melawan orang agama pun tiada ruang menafikan Tuhan. Ini diakui sendiri oleh Richard Dawkins sendiri dalam ‘The God Delusion’.
Orang Islam paling unik kerana mengembangkan sains dan matematik sebab agama. Contohnya untuk membantu mencari arah kiblat, menyelesaikan masalah faraid dan seumpamanya, malah ianya diakui oleh ilmuan bukan Islam seperti David Berlinski. Oleh sebab itu, sekiranya berhujah dengan golongan ateis yang berilmu, mereka tidak akan sesekali membawa isu ‘sains vs agama’ kerana mereka tahu hakikat kebenaran agama Islam yang mempercayai kewujudan Allah SWT Maha Berkuasa atas segalaNya
Justeru itu, dapatlah disimpulkan bahawa punca golongan yang tidak percaya Tuhan sebenarnya adalah kerana nafsu. Mereka ingin hidup bebas dan tidak mahu terasa terikat dengan syariat. Sedangkan agama adalah ‘alat’ yang boleh menjadi paksi pedoman seseorang itu tidak melampaui batas sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan. Islam juga mengajar supaya bersifat sederhana dalam melaksanakan setiap perkara sebagaimana Riwayat al-Bukhari, Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya agama itu mudah, dan janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”
Sumber: Irsyad al-Hadith – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment