JANGAN SUSAHKAN ORANG MANUSIA YANG SUKA ANIAYA ORANG LAIN AKAN MUFLIS DI AKHIRAT


Dalam kehidupan ini, kita sudah diajar untuk tidak sesekali menyusahkan orang lain. Muslim tidak hanya dianjurkan memerhatikan hubungan vertikalnya dengan Allah SWT, sebaliknya perlu menjaga hubungan horizontal dalam konteks hidup bermasyarakat. Oleh kerana itu lidah dan tangan seseorang Muslim banyak dikaitkan dengan iman, manakala perkataan atau perbuatan yang tidak baik dalam masyarakat diberikan peringatan yang keras. Allah SWT berfirman:

“Sesiapa yang mengganggu dan menyakiti lelaki beriman serta wanita beriman tanpa apa-apa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul kesalahan (buhtan) dan berbuat dosa yang amat nyata.” (QS Al – Ahzab: 58).

Kesan daripada perbuatan menyusahkan manusia dan masyarakat itu akan memberikan kesan kepada pelakunya di akhirat kelak hingga tidak mustahil bakal menjadi orang yang muflis. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang ketika Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, zakat dan pelbagai ibadat tetapi dia juga pernah mencaci, memfitnah, mengambil harta tanpa hak, menumpahkan darah serta memukul orang lain.” (HR Muslim).

Apabila orang yang disusahkan dan dianiayai mengadu kepada Allah SWT, maka bersiap sedialah untuk menghadapi kesusahan. Hal ini kerana orang yang dizalimi akan menuntut hak masing-masing dan sebagai balasannya, mereka mendapat sebahagian pahala yang berkadaran dengan hak terbabit. Lalu pelaku kejahatan itu akan menanggung pula dosa orang yang masih menuntut hinggalah dia akhirnya dicampakkan ke neraka.

Nampak bukan? Betapa beratnya dosa menyusahkan orang lain itu, ia tidak akan hilang hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT selagi tidak meminta maaf dan halal daripada mereka. Maka dari itu, kita tidak boleh meremehkan dosa penganiayaan terhadap orang lain kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah SWT. jangan sesekali menyusahkan dan menganiaya orang lain sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka.

Sumber: Kolum Agama, Berita Harian
(https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/02/535098/manusia-susahkan-orang-jadi-muflis-akhirat), 26 Februari 2019


 

Comments