KEJADIAN ALAM SEMESTA BUKTI KUKUH WUJUDNYA TUHAN MAHA PENCIPTA



Ateis bukanlah satu agama tetapi merupakan satu bentuk kepercayaan yang menafikan kewujudan Tuhan. Fahaman yang menolak konsep ketuhanan ini merupakan satu penyebaran yang mampu mengancam akidah umat Islam. Oleh sebab itu, pada peringkat asas umat Islam telah didedahkan dengan pengajian Sifat 20dan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah menetapkan antara satu sifat yang wajib bagi Allah SWT ialah ‘wujud’.

Terdapat banyak dalil dalam al-Quran dan hadis menunjukkan bahawa Allah SWT itu wujud. Antaranya dalam Surah al-Fusilat, ayat 37, maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah”.

Hal ini menunjukkan bahawa alam semesta yang dapat disaksikan sekarang adalah daripada perkara mumkin (mustahil) yang mana akal dapat menerima bahawa tidak mustahil alam semesta ini boleh diadakan. Akal sudah tentu akan menyatakan, semestinya wujud kekuatan luar yang memberikan kesan kepada alam semesta dan ianya dikaitkan dengan kekuasaan Tuhan yang mencipta dan mengaturnya. Mustahil ia berlaku dengan sendiri.  

Semua bukti-bukti ini berupaya untuk mengelukan lidah golongan ateis walaupun mereka sengaja berdolak-dalik dan menutup akal dengan pelbagai alasan. Golongan tersebut selalunya akan mengulang-ulang hujah kemungkinan dan kebetulan sahaja seperti mengaitkan setiap kejadian bermula dengan teori Big Bang. Berasaskan hujah golongan ateis ini, benarlah bahawa ateisme tidak lebih daripada suatu pemikiran dan tindakan memusuhi akal yang sihat dalam mencari kebenaran. Mereka sebenarnya hanyalah mengikut hawa nafsu masing-masing. 


Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

 

Comments