KETAKSUBAN SYIAH TERHADAP SISTEM WARISAN AHLUL BAIT DALAM PEMILIHAN PEMIMPIN MEMBAWA KEPESONGAN AKIDAH


Syiah sebenarnya bukanlah bermula dengan isu pokok dalam Islam, tetapi ianya bermula dari sebuah aliran politik lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi seolah-olah sebuah aliran agama atau mazhab dalam Islam. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut, maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru yang sengaja diada-adakan.

Hal ini menunjukkan bahawa krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi SAW telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Contohnya, isu khalifah atau kepimpinan yang hanya Ahlul Bait boleh dilantik, bukanlah seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman. Oleh sebab itu, Syiah mengkafirkan sahabat Nabi SAW tersebut kerana diaggap telah melangkaui Ahlul Bait. Sistem warisan seperti yang dipegang oleh Syiah ini akan mewujudkan kasta aristokrat atau bangsawan yang akhirnya dianggap maksum dan tidak boleh dipertikaikan.

Hal ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana keupayaan mereka dari segi kepimpinan, sebaliknya ditabalkan secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Sedangkan kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berasaskan kemampuan (al-Quwwah) dan amanah (al-Amanah). Secara logik akal sekalipun pemimpin yang dilantik mestilah mempunyai kriteria tertentu, bukannya semberono dilantik kerana pemimpin ‘kunci’ utama kemajuan sesebuah masyarakat atau ketamadunan. 

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis

Comments