MARILAH MERAIH CINTA ALLAH SWT

 

Pernahkah kita berhenti sejenak dan merenung apa yang paling kita kejar dalam hidup ini? Sebagai umat Islam, sudah tentu fokus utama kita adalah akhirat. Akhirat adalah penentu kepada akhir hidup kita sama ada baik atau sebaliknya. Untuk memperoleh akhirat yang selamat, sudah pasti kita perlu meraih cinta Allah SWT. Apabila kita memperoleh cinta dan kasih daripada Allah SWT, Dia akan memerintahkan makhluk-makhlukNya di langit dan bumi untuk menyayangi kita.

Nampak bukan? Betapa hebatnya kasih sayang yang dititahkan oleh Allah SWT pada makhlukNya berbanding dengan bentuk-bentuk kasih sayang lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila Allah, Yang Maha Kuasa dan Maha Berkat, sayang pada hamba, Dia akan panggil Jibril, “Aku sayang pada si anu, oleh itu sayangilah dia.” Maka Rasulullah SAW bersabda: Kemudian Jibril akan menyayangi dia. Dia juga akan panggil mereka di syurga: “Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mulia sayang pada si anu, oleh itu sayangilah dia.” Dan bila Allah benci pada hamba, Dia akan panggil Jibril dan berkata: “Aku benci si anu, oleh itu bencilah dia.” Rasulullah SAW menjawab: Kemudian Jibril akan membencinya. Dia akan panggil mereka di syurga: “Sesungguhnya Allah membenci si anu, oleh itu bencilah dia.” Kemudian kebencian akan ditunjukkan kepadanya di bumi.!” (HR Muslim).

Bagaimana kita mahu meraih cinta dan kasih sayang dari Allah SWT?:

1) Mengikut sunnah Rasulullah SAW.
2) Bertakwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah Mencintai orang yang bertakwa.” (QS At – Taubah: 4).
3) Membersihkan diri daripada kotoran fizikal dan kotoran berbentuk dosa.
4) Berlaku adil dalam segala urusan.
5) Melakukan amalan dengan cara yang terbaik @ ihsan. 
6) Bersikap sabar.
7) Selalu bertawakal.
8) Orang yang sentiasa merasa cukup dan suka menyembunyikan diri. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah menyukai hamba yang bertakwa, merasa cukup, dan tersembunyi.” (HR Muslim).
9) Melakukan amalan apabila telah menunaikan yang wajib. 

Oleh itu, janganlah kita berlengah. Marilah kita mulakan amalan kita pada hari ini dalam menggapai cinta dan kasih Allah SWT kepada diri kita. Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia tidak akan sesekali membiarkan hambaNya yang bertakwa dan beriman hidup dalam penderitaan. Raihlah cinta daripada Allah SWT agar kita beroleh ketenangan dan kedamaian di dunia dan akhirat, in shaa Allah.

Sumber: Portal Mengaji Online (https://mengajionline.com/bagaimana-mendapatkan-cinta-allah/)


Comments