MEK SITI WAN KEMBANG DAKWA ADA ILMU AURA MEMBOLEHKANNYA MAKAN BERSAMA ROH IMAM SYAFIE

 


Fenomena fahaman dan ajaran sesat wujud sejak berzaman dengan pelbagai dakwaan seperti mendakwa dirinya Tuhan atau wakil Tuhan kepada segala agama, nabi, pengganti nabi yang memiliki kuasa merubah hukum hakam dan sebagainya. Ajaran sesat dahulunya bergerak tanpa disedari menyebabkan sukar dikesan dan dibanteras. Dunia globalisasi tanpa sempadan serta teknologi masa kini menyebabkannya lebih mudah disebarkan dan sukar dibanteras pihak berkuasa agama.

Contohnya baru-baru ini muncul seorang wanita yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu aura sehingga beranggapan roh sentiasa menemaninya. Roh-roh tersebut dikatakan adalah selari dengan ilmu kerohaniannya dan hijabnya terbuka untuk melihat dan berkomunikasi dengan roh-roh tersebut. Misalnya, wanita tersebut mendakwa sedang makan bersama Imam Syafie, Cik Siti Wan Kembang, Ustaz Wadi Anwar, Nabi Khidir, Iskandar Zulkarnain dan sebagainya. Jelas lagi bersuluh hal ini bukanlah ajaran sebagaimana Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tindakan wanita ini jika tidak dibendung, dikhuatiri akan memberi kekeliruan kepada umat Islam yang lain lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai asas akidah yang kukuh.

Dunia globalisasi tanpa sempadan serta teknologi masa kini menyebabkan ajaran sesat lebih mudah disebarkan dan sukar dibanteras pihak berkuasa agama. Ajaran sesat adalah barah yang mengakibatkan rosaknya aspek kepercayaan (Iman), pengamalan (Islam) dan kerohanian (Ihsan) seseorang Muslim. Oleh sebab itu, pentingnya seorang Muslim memahami sebaiknya isu-isu perbahasan ilmu tauhid. Sekiranya terdapat individu yang tidak berkelayakan menerima apa-apa yang dikatakan ‘mukjizat’, maka bataslah diri untuk mempercayainya kerana kesyirikan itu membawa kesesatan.

Sumber: Journal of Ifta and Islamic Heritage, Vol. 1(1) – Universiti Kebangsaan Malaysia


Comments