PEGANGAN TERHADAP FAHAMAN PLURALISME MENGANCAM AKIDAH UMAT ISLAM



Usaha yang pelbagai semakin rancak dilaksanakan oleh golongan misionari bagi mengeluarkan umat Islam daripada pegangan agamanya. Selain misionari agama, wujud juga golongan yang mengaku memperjuangkan Islam melalui gerakan Islam liberal yang membawa agenda pluralisme beragama. Pluralisme dan pluraliti (kepelbagaian) mempunyai perbezaan daripada aspek falsafahnya.


Pluraliti agama bermaksud wujudnya kepelbagaian agama di dunia. Manakala pluralisme agama pula menjangkau daripada sekadar mengiktiraf kewujudan agama, bahkan mengiktiraf kebenaran agama yang pelbagai. Konsep pluraliti agama tidak berlawanan dengan ajaran Islam. Bahkan Islam menghormati dan memberikan kebebasan bagi manusia untuk memilih agama dan pegangan masing-masing. Namun, jika kepelbagaian itu sampai kepada tahap mengiktiraf kebenaran agama yang pelbagai dengan menyamaratakan semua agama, kononnya menuju kepada kemuncak ‘kebenaran yang sama’, maka ia bercanggah dengan Islam.


Fenomena pluralisme perlu dikawal kerana boleh membahayakan akidah umat Islam. Kesan pengaruh pluralisme, Islam tidak lagi dianggap agama yang benar secara mutlak, juga diragui sebagai agama wahyu yang diturunkan Allah SWT dan agama terakhir yang kekal sehingga hari kiamat. 


Justeru itu, sebagai umat Islam, pemahaman agama Islam yang benar perlu berpandukan autoriti yang sah dalam agama dan berpandukan sumber yang benar. Apabila wujudnya ada agama mahupun fahaman selain Islam adalah benar, maka ia sebagai petanda bahawa pemikiran umat Islam semakin lemah di samping lunturnya iman.


Sumber: Jurnal Teknologi (Social Science), Bil.59- Universiti Teknologi Malaysia

 

Comments