Ancaman radikalisme dalam kalangan belia semakin membimbangkan lebih-lebih lagi penyebaran ideologi ekstremisme boleh dilakukan secara berleluasa dan tanpa sempadan di alam maya. Berikutan hal ini, ibu bapa dan institusi keluarga memainkan peranan penting sebagai pelindung utama dalam menyelamatkan anak-anak remaja daripada terpengaruh dengan fahaman radikalisme.
Dalam situasi ini, ibu bapalah yang paling rapat dengan anak-anak dan berada dalam kedudukan terbaik untuk memantau aktiviti dalam talian mereka. Sekiranya dengan cara nasihat dan pelbagai larangan dibuat tidak diendahkan oleh remaja berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan untuk melaporkan anak-anak mereka kepada pihak yang bertanggungjawab. Laporan yang dibuat tersebut adalah tindakan yang sangat bijak dan penuh rasa tanggungjawab demi menyelamatkan anak mereka, bukan untuk menggelapkan masa hadapannya.
Oleh sebab itu, pentingnya ibu bapa untuk memantau dan menilai kelakuan anak-anak ketika berada bersama. Apabila terdapat ahli keluarga terlibat dalam fahaman radikalisme, keluarga tidak perlu malu untuk membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab, meskipun ia satu perkara yang sukar dan akan menimbulkan delima. Namun, dengan melaporkan pada pihak bertanggungjawab, individu tersebut akan berada di bawah pemantauan pihak berkuasa dan akan diberi rehabilitasi sebaiknya untuk meneutralkan kembali ideologi radikalisme yang telah didoktrinkan di dalam minda mereka.
Proses pemulihan ini amat penting kerana bermula dari sini mereka akan diberikan pemahaman agama yang benar dan juga berpeluang meleraikan segala salah faham agama yang mereka peroleh daripada kumpulan-kumpulan pengganas. Justeru itu, masyarakat perlu membuka minda supaya tidak ada rasa malu untuk melaporkan ahli keluarga yang terlibat dengan radikalisme demi mencegah sebelum parah.
Sumber: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RPG)
Comments
Post a Comment