TREND ‘BUKAN MUSLIM BACA AL-QURAN’ BUKA PINTU HIDAYAH PERCAYA KEWUJUDAN ALLAH SWT TUHAN YANG SATU


Modernisme telah membuatkan semakin ramai pihak tidak mahu berpegang kepada agama yang dirasakan mengongkong dan tidak percaya kepada Tuhan. Keadaan ini telah menyebabkan golongan tersebut mengkotak-katikkan agama Islam khususnya sehingga ke tahap mahu mengkaji al-Quran dengan niat untuk mencari kesalahan dan seterusnya mempersendakan umat Islam terutamanya di khalayak ramai seperti di media sosial atau demonstrasi jalanan. 

Namun begitu, hidayah itu milik Allah SWT. Dalam niat ketaksuban menjatuhkan umat Islam melalui ayat-ayat Allah SWT itu sendiri, mereka menemui jawapan yang dicari-cari dalam kehidupan dan akhirnya memeluk Islam. Sebagai contoh, seorang pempengaruh ‘Tiktok’, Megan Rice, adalah individu yang bertanggungjawab memulakan trend ‘bukan Muslim membaca al-Quran’. Beliau mula membaca dan mempelajari kandungan al-Quran selepas melihat bagaimana penduduk Palestin yang diuji dengan begitu berat masih mampu bersabar dan tidak menyalahkan takdir. 

Setiap hari Rice akan berkongsi dengan lebih 600,000 pengikut tentang ayat al-Quran yang dibacanya melalui terjemahan dan menyatakan kekaguman tentang bagaimana kitab suci itu mampu menjawab semua persoalannya. Selain Rice, ada juga pempengaruh lain yang membuat trend ini seperti @jakjack wilds dan @abbeyhafiz. Kebanyakan mereka mengakui bahawa al-Quran menyedarkan mereka tentang kedangkalan pengetahuan mereka tentang Islam dan betapa berbeza kandungan sebenarnya berbanding naratif Barat.

Trend ini sekurang-kurangnya memberi manfaat kepada Islam itu sendiri yang hasilnya orang bukan Islam kini memeluk Islam sebagaimana Rice. Begitu juga seorang paderi terkemuka Australia, Gould Davis turut kembali kepada fitrah Islam setelah 45 tahun berkhidmat di gereja. Kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa atas segalaNya dan Tuhan Yang Satu, kebenaran kitab suci al-Quran, kepercayaan terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir yang mukjizatnya adalah al-Quran, akhirnya diakui dan mereka akur bahawa agama Islam adalah agama yang benar. Benarlah bahawa hidayah itu datang kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – OKT 2024 dan Sinar Harian


 

Comments