Ramai di kalangan kita masih lagi bimbang akan rezeki yang tidak mencukupi berbanding dengan ibadah yang senipis kulit bawang. Bukankah rezeki itu pemberian Allah SWT? Kalau kita tidak menjaga ibadah kita bagaimana Allah SWT mahu mengurniakan rezeki yang berkat? Pernahkah kita terfikir mengenai itu? Sebenarnya, keberhasilan rezeki yang kita perolehi itu bukan sahaja bergantung kepada usaha sahaja, tetapi tergantung dengan cara kita beribadah kepada Allah SWT.
Saidina Umar Al – Khattab pernah berkata:
“Jagalah solatmu, ketika kamu kehilangan solat, kau akan kehilangan segalanya.”
Ayat ini sudah cukup membuktikan bahawa solat adalah kunci utama buat semuanya. Apabila kita tidak meletakkan solat sebagai keutamaan dalam hidup kita, bagaimana kita hendak mendapatkan rezeki lebih seperti yang didambakan? Allah SWT berfirman:
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS Taha: 132).
Maka dari itu, jagalah solat kita dan sekiranya solat kita terjaga maka seisi dunia kita akan dipermudahkan. Solatlah sebelum kita disolatkan. Iman akan lebih terjaga dengan menjaga solat. Sabda Rasulullah SAW:
“Islam telah terbina atas lima perkara, penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” (HR Muslim dan Bukhari).
Jangan biarkan kerja dunia melengahkan solat kita, kerana solat itulah yang memudahkan urusan hidup kita. Utamakanlah pertemuan kita dengan Allah SWT dan segala urusan lain akan menjadi lebih lancar. Ingatlah, solat bukan hanya kewajipan, tetapi kunci kejayaan dunia dan akhirat.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment