AJARAN CAHAYA ‘MENGHALALKAN’ PELUKAN DENGAN BUKAN MAHRAM MENYESATKAN UMAT ISLAM

 


Iblis berikrar membenarkan segala jenis maksiat ke atas Adam serta zuriatnya selain menghalangi mereka daripada menjalani jalan yang lurus. Jenis-jenis penyelewengan, kesesatan dan kekufuran berterusan berlaku dengan dorongan iblis. Hukum alam atau sunnatullah memperlihatkan pertembungan antara hak dengan batil atau kebenaran dengan kesesatan berterusan berlaku sepanjang zaman.

Hal inilah yang berlaku di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, seorang suri rumah telah menyebarkan kesesatan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kumpulannya yang dikenali dengan kumpulan Ajaran Cahaya telah mendoktrinkan kepada pengikutnya termasuklah berpelukan antara bukan mahram adalah dibenarkan kerana Ajaran Cahaya dikatakan sebagai malaikat yang tidak mempunyai nafsu. Laporan mendapati bahawa pengikutnya kini mencecah seramai 5,000 orang.

Perkara ini memperlihatkan bahawa berlakunya kepincangan akidah yang akhirnya menyesatkan umat Islam akibat individu yang tidak berkelayakan mentafsir sendiri ayat-ayat al-Quran atau hadis. Kesannya umat Islam yang lemah imannya tidak mengira usia terlalu mudah terpengaruh meskipun ianya jelas tidak melambangkan syariat Islam. Pelik tetapi inilah hakikatnya. Justeru itu, bentenglah diri dengan asas iman yang kukuh agar tidak leka dengan fatamorgana dunia yang mengkhayalkan. 

Sumber: Sinar Harian – 12 NOV 2024  dan Journal of Ifta and Islamic Heritage, Vol.1(1) –Universiti Kebangsaan Malaysia


Comments