Fahaman menolak kewujudan Tuhan telah mula timbul dalam kalangan ahli falsafah Yunani. Diagoras, ahli falsafah terkenal Yunani, adalah antara tokoh terawal yang memperkenalkan fahaman ini. Beliau telah mengkritik Dewa Elusinian yang tidak mempunyai kuasa untuk menyelamatkan dirinya apabila patung Dewa tersebut telah dibuang olehnya ke dalam lautan api. Kemudian, fahaman ini semakin berkembang sehngga mula diterima sebagai suatu fahaman yang baharu dalam masyarakat Muslim.
Kelompok ahli falsafah Muslim yang terpengaruh dengan falsafah Yunani ini digelar sebagai golongan dahriyyun (golongan yang percaya semua benda tercipta tanpa pencipta) dan juga dipanggil golongan zindiq (menzahirkan keislaman dan menyembunyikan kekafiran) oleh Imam Ghazali. Perkembangan fahaman mengenai penolakan terhadap kewujudan Tuhan dalam kalangan masyarakat Islam semakin berani untuk ditonjolkan sehingga membawa kepada pertubuhan ‘Atheist Republic’ yang diasaskan oleh bekas Muslim yang telah menjadi ateis iaitu Armin Navabi. Pertubuhan ini telah menarik perhatian ramai golongan ateis daripada pelbagai negara terutamanya bekas Muslim yang telah murtad dan mempunyai kecenderungan untuk menjadi ateis pada masa kini.
Oleh itu, sejarah Barat dan Islam menunjukkan pemikiran menolak kewujudan Tuhan sudah wujud sejak zaman silam dan semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini. Pada waktu yang sama, golongan ini juga semakin berani mempamerkan pemikiran mereka berbanding golongan ateis pada zaman dahulu. Kemunculan internet telah menjadi pemangkin kepada perkembangan serta penyebaran pemikiran ini. Isu agama yang dahulunya sensitif dan jarang dikritik kini dipertikaikan secara terbuka di media sosial. Mereka kini berani bersuara dengan lantang membincangkan pemikiran menolak ketuhanan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
Justeru itu, apakah tindakan diri kita sebagai seorang Muslim untuk membenteng diri dari pengaruh ateisme? Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh pihak berwajib untuk membendung fahaman ini dari terus merebak dalam kalangan masyarakat khususnya beragama Islam? Renung-renungkan.
Sumber: Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari – Universiti Sultan Zainal Abidin
Comments
Post a Comment