Kempen Kalimah Toyyibah yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini bertepatan dengan situasi semasa untuk membugar keluhuran akhlak dalam kalangan masyarakat supaya dapat mengamalkan budi bahasa yang sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan. Adab sopan bukan sesuatu yang baharu dalam Islam. Malah, perintah mengamalkan kesopanan dalam berbicara dan tutur kata harian sudah dijelaskan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya, al-Quran menerusi surah al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:
"Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
Agama Islam sangat mementingkan budi bahasa dan adab sopan dalam kehidupan harian. Sopan santun dan adab yang baik tidak terhad kepada kesantunan tingkah laku, bahkan ia juga terkait dengan cara berbahasa dan nada suara ketika kita bertutur. Ia secara tidak langsung mencerminkan akal budi seseorang insan. Kelulusan akademik, jawatan, pangkat atau gelaran tanpa sulaman adab dan kesopanan hanya melambangkan kerendahan peribadi serta kelemahan akhlak seseorang insan. Rasulullah SAW bersabda:
"Tuhanku (Allah) mendidikku dengan pendidikan yang terbaik." (HR Ibnu Hibban).
Kalimat ta'dib yang digunakan dalam hadis tersebut bermaksud suatu proses untuk membentuk keperibadian manusia agar menyedari tentang tanggungjawab kepada Allah SWT sebagai khalifah yang memakmurkan bumi. Jadi, umat Islam seharusnya menjauhi perkataan kesat, memaki hamun dan tindak-tanduk yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam. Budaya pertuturan dengan meninggikan suara, memaki hamun, memfitnah dan menggunakan bahasa kesat mestilah dihindari temasuklah menjadi pengguna media sosial yang liar dan tidak beradab.
Gagasan Kalimah Toyyibah penting ke arah melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia bagi mendepani cabaran keruntuhan nilai. Antara kerugian terbesar yang melanda umat akhir zaman ialah apabila adab dan akhlak tidak lagi menjadi pakaian serta perhiasan dalam kehidupan insan sedangkan Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak." (HR Imam Ahmad).
Dalam usaha memenuhi tanggungjawab menyediakan generasi pewaris, kita wajib menyemaikan kesedaran di kalangan masyarakat agar menjadi warga yang beradab dan bersopan. Penghayatan terhadap gagasan Kalimah Toyyibah penting untuk melahirkan generasi yang dapat menjadi Qudwah Hasanah atau berpersonaliti unggul. Sifat tersebut boleh membendung salah faham dan persepsi negatif terutama dalam kalangan masyarakat bukan Islam terhadap ajaran Islam.
Sumber: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Kolum Ad Din, Harian Metro (19 Oktober 2024)
Comments
Post a Comment