BERPEGANG KEPADA AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DIJAMIN TERHINDAR DARI KESESATAN


Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya.

Oleh sebab itu, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi pegangan tersebut maka ditakuti ia bukan berdasarkan akidah ASWJ yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan. 

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat Islam. Contohnya, mengamalkan solat yang wajib kurang atau lebih daripada lima waktu, mengguna pakai kaedah pelaksanaan zakat dan puasa yang menyalahi kaedah pelaksanaan yang sedia maklum, menunaikan haji bukan di Mekah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji dan sebagainya.

Kesimpulannya, Islam adalah sebuah cara hidup lengkap yang meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam adalah agama yang mudah dalam erti kata sesuai dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Ia juga bermaksud Islam adalah agama yang bersifat sederhana, mudah, pratikal dan bertoleransi. Oleh yang demikian, penganut agama Islam disifatkan sebagai ‘ummatan wasatan’ iaitu umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta seimbang dalam seluruh aspek kehidupannya. 

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor


 

Comments