FAHAMAN LIBERALISME MEROSAKKAN UMAT ISLAM


Fahaman liberalisme adalah fahaman bebas yang tidak terikat dengan syariat Islam. Fahaman ini menjauhkan seseorang Muslim daripada agamanya. Lebih membimbangkan ia adalah benih kepada fahaman tidak beragama. 

Sedangkan Islam adalah agama yang mengatur akidah, syariat dan akhlak bagi setiap Muslim sesuai dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah kerana Islam bermaksud ketaatan, kepatuhan dan penyerahan kepada Allah SWT dan rasulNya. Berikut adalah beberapa bentuk bahaya fahaman liberalisme terhadap kesucian akidah umat Islam:
1. Liberalisme membawa kepada fahaman semua agama adalah sama;
2. Liberalisme memperjuangkan sekularisme;
3. Liberalisme berpaksikan logik akal semata-mata; dsb

Justeru itu, sebagai umat Islam, jauhilah golongan jahil lagi fasik yang menyebabkan kecelaruan dan kesesatan. Selain itu, untuk memperkukuhkan lagi akidah, ambillah iktibar daripada kisah-kisah azab dan balasan terhadap umat terdahulu. 

Al-Quran mengisahkan pelbagai sejarah umat terdahulu yang telah diazab kerana menentang dakwah para rasul. Ada umat yang bumi mereka diangkat, diterbalik, dihempap dan dihenyak semula ke bumi. Ada umat yang disambar dengan petir, ada umat yang bertukar menjadi beruk dan sebagainya. Lihatlah, sedarlah! Akibat dan pembalasan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya berpegang teguh dengan ajaran Islam di akhir zaman diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai menggenggam bara api. Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api” (Riwayat al-Tarmizi) 

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor


 

Comments