FAHAMI KONSEP TAUHID AGAR TIDAK TERJERUMUS KE ARAH KESYIRIKAN

 


Menelusuri kronologi sejarah ajaran sesat, Nabi Adam AS adalah orang pertama memperjelaskan konsep Tauhid dan lawannya iaitu syirik. Semua para Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT membawa seruan sama iaitu “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.”

Islam meraikan manusia yang bersifat kepelbagaian budaya dan kepelbagaian agama. Meskipun fitrah asal kejadian manusia cenderung mentauhidkan Allah SWT, namun persekitaran merubahnya kepada syirik. Oleh sebab itu, initipati wacana al-Quran umumnya adalah dakwah mengembalikan manusia kepada mentauhidkan Allah SWT dan penegasan hanya Islam satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT. 

Isu ajaran sesat umumnya ialah penyelewengan terhadap ajaran Islam terutamanya isu ketuhanan atau ketauhidan dan isu berkaitan kenabian. Kelompok ajaran sesat terawal ialah para pengikut kepada individu yang mengaku sebagai Nabi. Seramai 11 individu mengaku Nabi sejak zaman Rasulullah SAW dan khulafa al-Rasyidin. Isu utama ajaran sesat ialah penyelewengan dalam ajaran Islam berkaitan persoalan ketuhanan, kenabian dan perkara ghaib. 

Justeru itu, boleh difahami bahawa ajaran sesat telah bermula semenjak zaman nabi dan tidak dinafikan semakin berevolusi dari zaman ke zaman. Hal ini bermaksud tidak akan pernah lenyap sesebuah ajaran sesat sekiranya masih ada lagi umat Islam yang mengambil remeh perkara-perkara berkaitan akidah Islam. Oleh sebab itu pentingnya pegangan teguh terhadap syariat Allah SWT melalui al-Quran dan hadis, pemahaman yang benar yang dirujuk pada individu yang pakar ilmu agama dan menghindari diri dari perkara-perkara yang syubhah supaya tidak terjerumus ke arah kesesatan.

Sumber: Journal of Ifta and Islamic Heritage, Vol.1(1) – Universiti Kebangsaan Malaysia


Comments