GISBH DIFATWAKAN SESAT JANGAN SESEKALI MENEGAKKAN BENANG YANG BASAH


Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke – 125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu memutuskan bahawa pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dari syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan pengikutnya adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadut, enam ciri-ciri penyelewengan dari kumpulan itu termasuklah Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi manakala pengasas pertubuhan al-Arqam, Asaari Muhammad sebagai pembantunya di akhir zaman. Turut didapati sesat dan menyeleweng adalah fahaman air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut serta janggut pemimpin mempunyai keberkatan.

Selain itu, GISBH mengamalkan ekonomi riba ashi yang mempunyai unsur perhambaan. Ini bermaksud keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah selain amalan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

Namun begitu, masih terdapat segelintir netizen yang masih memnyebelahi kumpulan ini dengan mengatakan ia adalah sebuah fitnah yang mahu menggugat ekonomi Islam secara khususnya. Di mana logiknya yang dikatakan fitnah itu? Sudah jelas dan nyata terdapat unsur – unsur kesesatan selain unsur perhambaan yang diamalkan oleh para pemimpin dan para pengikut GISBH. Jika benar terdapat unsur yang kononnya ingin menjatuhkan ajaran dan ekonomi Islam, mengapa masih banyak lagi ekonomi Islam lain yang berkembang maju? Tahukah kita, prinsip – prinsip asas ekonomi Islam itu seperti berikut:

1) Kebebasan individu.
2) Hak milik harta yang mana Islam mengiktiraf hak individu kepada harta dengan menjaga kemaslahatan masyarakat.
3) Ketidaksamaan ekonomi terkawal.
4) Kesaksamaan sosial. Ini bermaksud kekayaan tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu.
5) Jaminan sosial. Setiap individu mempunyai hak mendapatkan mata pencariannya.
6) Edaran kekayaan yang meluas.
7) Pengharaman pengumpulan harta tak menentu.
8) Pengharaman institusi anti sosial.
9) Kebajikan individu dan sosial.

Daripada sekian banyak prinsip itu, adakah satu yang mengena dengan peranan GISBH? Tidak sama sekali. Mereka mengamalkan sistem perhambaan sukarela, mereka tidak mengamalkan kesaksamaan sosial sebaliknya mengkayakan para pemimpin dengan harta yang bergunung dan mereka juga mungkin terlibat dengan aktiviti penggelapan wang haram. Adakah itu yang diajarkan di dalam Islam? 

Jangan sesekali menegakkan benang yang basah hanya kerana mereka kononnya membantu membangunkan ekonomi Islam. Sedangkan sisi gelap mereka jauh lebih buruk dan mengerikan. Ya, mereka membantu ekonomi Islam hanya di kalangan mereka sahaja dan bukannya kepada negara. Sedangkan kebajikan para pekerja mereka abaikan dan cukup sekadar ditanggung makan dan pakai. Itu bukanlah prinsip ekonomi yang sebenar melainkan sistem perhambaan zaman jahiliyyah. Malah, mereka juga dipaksa untuk mengamalkan ajaran yang menyimpang dari ajaran Islam dengan zikir – zikr yang memuji dan memuja pemimpin mereka dan bukannya Allah SWT. 

Bukalah mata dan minda kita. Ajaran dan fahaman yang dibawa oleh GISBH ini bukanlah Islam yang sebenar. Ekonomi yang digembar – gemburkan oleh mereka itu hanyalah topeng semata namun di sebaliknya ada unsur – unsur penganiayaan yang amat dasyat dan tidak berpeikemanusiaan. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.” (QS Az – Zumar: 65).

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan portal e – Muamalat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments