GOLONGAN LIBERAL MELANGGAR ‘TABOO’ MENGENEPIKAN NILAI MURNI DIGARISKAN AGAMA ISLAM

 


Dalam Islam, kita mengenal konsep pertanggung jawapan secara individu, bahawa manusia akan bertanggungjawab secara individu di hadapan Allah SWT. Hal ini bermakna segala dosa perbuatannya akan menjadi tanggungannya sendiri dan tiada orang yang akan menanggung untuknya. Namun, ini tidak bermakna bahawa perbuatannya itu tidak akan memberi apa-apa kesan sama ada baik ataupun buruk kepada orang lain. 

Justeru dalam Islam, setiap perbuatan yang baik akan diambil kira bukan sahaja perbuatan itu tetapi juga bagaimana ia memberi kesan kepada orang lain, jika perbuatan yang baik itu menjadi penyebab kepada banyak perbuatan baik yang lain, maka orang yang memulakannya akan mendapat ganjaran daripada setiap perbuatan baik yang datang setelahnya, demikian juga sebaliknya.

Apa yang nyata dalam liberalisme ini sama ada dalam urusan publik, bernegara atau peribadi, agama tetap diketepikan. Meskipun sering dikatakan bahawa urusan agama adalah urusan individu, namun hakikatnya agama tidak boleh dikuatkuasakan bahkan akan sentiasa disisihkan. Konsep kebebasan yang dipegang golongan liberal secara tidak langsung telah mengenepikan aturan moral dan nilai-nilai murni yang digariskan oleh agama. Menurut falsafah ini tiada lagi halal dan haram, aturan dan sekatan, masing-masing individu bebas melakukan apa sahaja yang sebelum ini dianggap buruk, ‘taboo’ dan perlu dijauhi oleh masyarakat.

Jelaslah bahawa agama tidak lagi dilihat sebagai rujukan dalam ilmu dan kebenaran sebaliknya melihat manusia berkuasa sepenuhnya menentukan nasibnya sendiri, hakikat dan peranannya di muka bumi, falsafah moralnya sendiri tanpa panduan daripada Tuhan dan wahyu. Berhati-hatilah.

Sumber: Jurnal Afkar, Vol.20(2)- Universiti Teknologi Malaysia


Comments