Sebagai umat Islam, sudah tentu kita telah diajar dengan enam Rukun Iman yang wajib dipercayai. Salah satu daripadanya adalah Rukun Iman yang kelima iaitu mempercayai bahawa adanya hari akhirat dan juga balasan syurga dan neraka. Menyakini akhirat akan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT, mengurangkan rasa cinta kepada dunia, menganggap ringan segala kesedihan dan kesusahan duniawi, sabar dalam menghadapi musibah dan menahan nafsu kerana yakin dan percaya dengan pahala dan balasan yang telah Allah SWT sediakan.
Daripada rasa keyakinan pada hari akhirat sebagai hari pembalasan atas segala amal perbuatan di dunia itulah akan menumbuhkan kejituan peribadi yang bercirikan insan yang soleh dan berakhlak mulia. Banyak paparan gejala sosial yang sedang gawat melanda sesetengah kalangan generasi muda adalah disebabkan rasa yakin akan alam akhirat tidak tertanam kukuh dalam hati mereka. Untuk menjadi seorang manusia yang bertakwa dan diredai Allah SWT, dia mestilah mempunyai kunci dan kunci yang dimaksudkan ialah ilmu. Ya, ilmu bukan sahaja menjadi kunci ungkapan kalau malah ilmu juga merupakan kunci pada segala-galanya. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan baginya satu jalan ke syurga.” (HR At – Tirmidzi).
Insan yang sentiasa ingatkan hari pembalasan di akhirat kelak akan merealisasikan gaya kehidupan yang sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia. Ini kerana Rasulullah SAW sudah pun memberitahu kita bahawa amalan yang akan memberatkan timbangan amal nanti adalah akhlak yang baik. Oleh itu, dalam melahirkan jiwa yang bertakwa kita mestilah mencari ilmu akhirat yang akan menentukan pengakhiran hidup kita di sana. Allah SWT berfirman:
"Wahai manusia yang beriman, peliharalah diri dan keluarga kamu daripada api neraka." (QS At – Tahrim: 6).
Apabila kita berilmu, beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan hari akhirat, nescaya Allah SWT akan menambahkan lagi kegembiraan dan kenikmatan dalam hidup. Firman Allah SWT:
"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberi rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu." (QS At – Talaq: 2-3).
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (4 November 2024)
Comments
Post a Comment