KATA – KATA NISTA MENGUNDANG PERPECAHAN - SUBURKAN KEMBALI UKHUWAH SESAMA UMMAH

 


Tidak dinafikan zaman ini merupakan zaman teknologi dan setiap orang mempunyai laman sosial mereka sendiri serta menjadikan platform itu sebagai tempat untuk menyuarakan pendapat, meluahkan perasaan dan berinteraksi antara satu sama lain. Namun, di sebalik kebaikannya, platform ini juga sering disalah guna untuk menyebarkan kata-kata nista, kritikan melampau dan fitnah yang menimbulkan perbalahan. 

Dalam Islam, segala perbuatan, termasuk perkataan yang kita tulis atau ucapkan, akan dihisab oleh Allah SWT pada Hari Akhirat. Allah SWT memberikan peringatan kepada kita untuk menjaga lidah dan tangan daripada mengeluarkan kata-kata atau tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Barangkali (kaum yang dicemuh) itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh)." (QS Al – Hujurat: 11).

Ayat ini memberi peringatan kepada kita supaya tidak menghina atau memandang rendah kepada orang lain, sama ada secara lisan ataupun melalui tulisan. Di media sosial, peringatan ini amat relevan kerana ramai pelayar laman sosial yang digelar netizen, sering terbawa-bawa dengan emosi dan meninggalkan komen atau komen balas yang penuh sindiran, celaan dan kebencian. Perbuatan ini tidak hanya membawa kepada dosa, malah ia juga boleh menimbulkan konflik dan ketegangan dalam masyarakat.

Untuk itu, sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar bahawa setiap tindakan yang diambil itu akan ada akibatnya sama ada baik atau sebaliknya. Akhlak memainkan peranan penting dalam merealisasikan umat Islam yang bersatu padu. Akhlak umat Islam merupakan cerminan agama Islam di mata dunia. Sekiranya kita lancang dalam mengeluarkan perkataan – perkataan yang tidak sepatutnya, bagaimana umat Islam ingin bersatu padu? Adakah ini akhlak yang diturunkan untuk umat Baginda di akhir zaman? 

Sedarlah, dunia sudah hampir ke penghujung. Jika kita tidak bersatu padu maka siapa yang akan menyatukannya? Tindakan meninggalkan komen atau posting yang penuh dengan celaan dan fitnah di media sosial akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada orang yang dihina, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Fitnah yang disebarkan boleh memecah belah hubungan persaudaraan dan persahabatan serta merosakkan imej Islam di mata orang lain.

Justeru, media sosial sepatutnya menjadi medium yang mengeratkan hubungan dan memperkukuh ukhuwah Islamiah. Apabila seseorang memilih untuk menyebarkan kata-kata nista atau fitnah, mereka bukan sahaja merosakkan maruah orang lain, malah mengkhianati nilai ukhuwah yang diperintahkan oleh Islam. Allah SWT berfirman:

“Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS Al Hujurat: 10).

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak


Comments