Sehingga artikel ini ditulis, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka sudah pun mengambil keterangan daripada seorang pensyarah yang didakwa menghina Rasulullah SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah R.A. Akan tetapi pada pihak artikel, masih banyak perkara yang perlu diberi teguran untuk semua pihak khususnya umat Islam agar tidak sesuka hati menjadikan kisah Rasulullah SAW itu sebagai bahan jenaka atau gurauan sesama kita.
Dalam sebuah majlis ceramah agama yang dianjurkan di sebuah negeri, seorang pensyarah telah memberikan “syarahan agama” berkenaan akhlak Rasulullah SAW. Akan tetapi, isi daripada ceramah itu dilihat lebih berunsurkan satu penghinaan terhadap agama dan juga kepada Baginda SAW. Dalam “syarahan” tersebut, pensyarah itu menggambarkan Saidatina Aisyah R.A memberikan “tanda cinta” (love bite) kepada Rasulullah SAW. Ini sama sekali tidak boleh diterima kerana ia mengaitkan akhlak Rasulullah SAW. Sedangkan Allah SWT telah berfirman tentang akhlak Baginda dalam surah Al – Qalam, ayat 4 yang bermaksud:
"Sesungguhnya engkau (Muhammad) berada di atas akhlak yang agung."
Bahkan Allah SWT juga telah menyatakan di dalam surah Al – Saba, ayat 28 yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”
Jadi, tidak perlu dinafikan lagi bagaimana mulianya akhlak Rasulullah SAW yang wajib menjadi ikutan kita sebagai umat Islam. Walaupun permohonan maaf telah dilakukan oleh pensyarah tersebut, namun ia kekal menjadi parut ingatan buat semua umat Islam tentang bagaimana seorang pendidik boleh memberikan tanggapan yang sedemikian rupa kepada seorang junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.
Ingatlah, sebelum melakukan atau berkata tentang sesuatu atau seseorang, fikir dahulu natijah yang terpaksa dihadapi kemudian hari. Sekarang, sudah terhantuk baru tergadah. Tidak ada yang lebih mulia dari akhlak Rasulullah SAW melainkan ianya diwarisi kepada kita, umat akhir zaman. Akhlak Rasulullah SAW wajib menjadi ikutan, bukan bahan gurauan!
Sumber: Facebook My #Hadith Time
Comments
Post a Comment