LEBIH SEPARUH PENGIKUT GISBH DITAHAN: TIADA REKOD PERKAHWINAN ZINA YANG “DIPELIHARA”, NASAB HURU – HARA!

 


Satu pendedahan mengejutkan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di mana mereka mengenalpasti 231 individu yang ditangkap terkait dengan Global Ikhwan Sendirian Berhad Holdings (GISBH) mengaku sudah berkahwin. Namun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, daripada jumlah itu hanya 100 orang memiliki rekod kahwin, susulan semakan pihaknya melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia.

Nauzubillahiminzalik!! Sekiranya hanya 100 orang sahaja yang memiliki rekod perkahwinan yang sah, bagaimana selebihnya? Sekiranya mereka mempunyai zuriat hasil daripada “perkahwinan” tersebut? Bukankah mereka akan tergolong dalam kategori anak tidak sah taraf? 

Artikel tidak menuduh secara semberono, akan tetapi sekiranya ajaran yang dibawa oleh GISBH ini adalah ajaran yang benar seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, mengapa tidak mengikut saluran yang betul dalam pendaftaran pernikahan? Mengapa menggalakkan perkahwinan secara sembunyi? Tidak terfikirkah tentang nasab dan keturunan yang dilahirkan kemudian hari? Tidak keterlaluan kalau artikel mengatakan bahawa golongan ini seakan menyanjung penzinaan sesama ahli. 

Zina ialah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Kerana ia merosakkan nasab keturunan dan maruah manusia. Bahkan Allah SWT telah memberi peringatan kepada semua hambaNya di dalam surah Al – Isra’: 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Sekarang lihat apa yang terjadi, akibat terlalu merasa benar dengan ajaran yang diturunkan kononnya itu adalah ajaran yang sebenar, maka berapa ramai anak – anak yang lahir menanggung bala dan dosa hasil daripada hubungan yang tidak berdaftar ini. Bagaimana nasib mereka? Kehidupan seharian mereka? Masa depan mereka? Air muka mereka tatkala berdepan dengan orang ramai? Nasib yang kononnya dijamin bakal dibela oleh ahli – ahli GISBH kini lebur dan mereka sekarang bertebaran melarikan diri. 

Inilah natijah yang harus dihadapi oleh semua pihak apabila ada pihak yang sentiasa merasakan benar konon atas alasan ini adalah ajaran agama yang sebetulnya. Lihatlah apa yang jadi, semua hancur, nasab menjadi huru hara dan masa depan menjadi gelap gelita. Memelihara keturunan atau nasab merupakan satu daripada maqasid syariah iaitu tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Syari’at Islam dalam hukum-hakam. Syarak dan Maqasid al-Syariah amat mementingkan pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

Inilah akibatnya kerana terlalu taksub “ajaran agama”, zina “dipelihara”, nasab menjadi huru – hara!

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)


Comments