LIBERALISME MAMPU MERUNTUHKAN NILAI-NILAI ISLAM JIKA TIDAK DIBENDUNG

 


Arab Saudi adalah sebuah negara yang dipandang sebagai pemegang teguh nilai-nilai konservatif. Selari dengan identiti Arab Saudi tersebut, nilai-nilai keislaman dan aturan-aturan Islam ditegakkan tanpa pandang bulu dan ianya telah diamalkan semenjak tahun 1932. Penemuan minyak pada tahun 1938 telah membuatkan Arab Saudi juga dikenali sebagai negara Petrol Dollar. Semenjak itu, mereka telah masuk ke dalam rangkaian interaksi politik dan ekonomi global yang membentuknya menjadi negara moden sebaris dengan negara-negara Barat.

Namun, disebabkan minyak akan habis suatu hari nanti, Arab Saudi merencanakan program ‘Saudi Vision 2030’ yang bertujuan untuk melepaskan diri dari kebergantungan terhadap sumber minyak. Bagi menjayakan program ini, Arab Saudi perlahan-lahan meruntuhkan tembok konservatif nilai-nilai Islam yang dipegang teguh selama ini dan mula membuka pintu bagi dunia luar untuk melancong dan melakukan pelaburan.

Contohnya, konsert artis antarabangsa sudah dibenarkan untuk diadakan di Arab Saudi, wayang sudah dibuka semula, wanita Arab Saudi sudah dibenarkan bebas untuk bekerja atau bersosial di tempat terbuka, banyak program yang diadakan tidak diasingkan lelaki dan perempuan, membuka pantai persendirian yang membolehkan pengunjung berbikini, membuka kasino dan seumpama dengannya. Perkara-perkara ini telah melonjakkan pelaburan mata wang asing ke Arab Saudi dan membolehkan projek-projek besar di sekitar Laut Tengah bagi menarik pengunjung antarabangsa.

Nampak seperti biasa bagi sesebuah negara mengorak langkah untuk memajukan ekonomi masing-masing, namun cuba lihat disebaliknya. Inilah kesan daripada penerimaan ideologi liberalisme. Nilai-nilai Islam cuba dihakis sedikit demi sedikit dan kononnya berpegang teguh pada konservatif Islam menjadi punca utama kemunduran. Sedangkan dengan nilai-nilai Islam yang dipegang dan menjadi warisan nabi-nabi itulah yang membentuk keunikan identiti Arab Saudi dan menjadi tarikan. 

Liberalisme bukan suatu ideologi yang boleh diambil remeh, kerana dengannya terwujudnya Islam liberal yang mahu merombak semula syariat dan hukum hakam yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan hadis untuk disesuaikan dengan zaman moden, sedangkan al-Quran itu adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbaik dan sesuai digunakan sepanjang zaman. Justeru itu, berhati-hatilah wahai umat Islam.

Sumber:cncnindonesia.com


Comments