Tidak dinafikan, kos hidup yang semakin menaik membuatkan sebilangan daripada kita memilih untuk menjalankan perniagaan atas talian sebagai sumber pendapatan kedua untuk memenuhi isi rumah. Namun, ia bukanlah lesen kepada kita untuk menjalankan marketing ataupun pemasaran secara “double meaning” untuk menarik pelanggan. Ramai di kalangan peniaga atas talian memilih untuk melakukan taktik pemasaran secara “double meaning” demi untuk meraih keuntungan kerana dengan cara itu lebih menarik minat pelanggan untuk membeli. Akan tetapi, di mana keberkatannya dalam mencari rezeki?
Rezeki yang paling baik adalah rezeki yang dipenuhi dengan berkat iaitu rezeki yang walaupun sedikit tetapi mencukupi, manakala rezeki yang tidak baik adalah rezeki yang diperoleh dengan banyak, tetapi tidak mendatangkan manfaat, tidak pernah cukup dan tidak berkat. Mukmin yang mencari rezeki di atas muka bumi Allah SWT ini perlu meletakkan iltizam di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan untuk mendapat kesenangan hidup semata-mata, tetapi mesti meletakkan keutamaan untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat. Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa berkerja untuk anak isterinya melalui jalan yang baik lagi halal, maka bagi mereka akan mendapatkan pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (HR Baihaqi).
Keberkatan dalam rezeki merupakan perkara penting yang perlu kita titik beratkan supaya hidup kita selamat dan bahagia pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk memperoleh rezeki. Perlu juga diingat bahawa rezeki bukan sekadar kekayaan atau wang ringgit semata-mata tetapi juga ia boleh juga berupa ilmu, ketenangan jiwa, anak yang soleh dan keluarga yang bahagia.
Apabila amalan “double meaning” digunakan sebagai pelaris, maka hilanglah keberkatan rezeki tersebut dan penat Lelah kita menjadi sia – sia. Antara adab dalam mencari rezeki adalah:
1) Seseorang yang mencari rezeki hendaklah memasang niat untuk bekerja kerana Allah SWT dan membantu umat Nabi Muhammad SAW.
2) Niat bekerja sebagai ibadah. Umat Islam harus sedar bahawa bekerja dengan niat yang betul, akhlak dan perbuatan yang baik adalah tempat jatuh pandangan Allah SWT kepada seseorang Mukmin yang pastinya tidak saja mendapat pendapatan yang berkat tetapi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
3) Bangun awal pagi. Untuk mendapat rezeki yang berkat seseorang Mukmin juga mesti membiasakan diri dengan amalan bangun pada awal pagi. Nabi Muhammad SAW berdoa agar Allah SWT memberkati umatnya yang bangun pada awal pagi.
Oleh itu, gunakanlah akal dan pemikiran yang waras dalam mencari rezeki. Jangan kerana dek mengejar keuntungan, maka kita tidak mempedulikan keberkatan dalam rezeki tersebut. Ingatlah, rezeki yang kita dapat itu akhirnya akan masuk kedalam badan kita dan akan menjadi darah daging. Berkatkah hidup kita?
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuanc
Comments
Post a Comment