Tidak dinafikan setiap daripada kita ini mempunyai hutang. Berhutang merupakan satu bentuk muamalat yang disediakan oleh syariat Islam kepada penganutnya bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Panduan telah diletakkan oleh para ulamak kepada penghutang dan pemiutang supaya kemudahan yang diberikan oleh Islam ini tidak disalahgunakan. Islam menganggap hutang merupakan suatu amalan yang dibenarkan ketika wujud keperluan dan kepentingan. Namun Islam tidak menggalakkan berhutang jika bertujuan untuk hidup bersenang-lenang dan bermewah-mewah.
Malah, Rasulullah SAW pernah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhi daripada bebanan hutang dengan sabdanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A:
“Ya Allah!, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang”, lalu bertanya seseorang kepadanya; “Alangkah banyaknya doa engkau meminta jauh dari hutang?”, maka baginda menjawab; “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mungkiri.” (HR Bukhari).
Namun, keadaan hari ini jauh berbeza. Manusia sanggup berhutang semata – mata untuk kelihatan mewah. “Biar papa, asal bergaya”, itulah ayat yang sering diutarakan agar diri kelihatan mewah namun sebenarnya tidak mempunyai apa – apa melainkan hutang yang berganda nilainya. Sudahlah berhutang, masih sombong dan bongkak. Apabila nyawa menjadi galang gantinya, barulah mula untuk menagih simpati. Hukum berhutang boleh jadi haram sekiranya ia dilakukan untuk tujuan maksiat seperti berjudi, membeli dadah, menganiaya orang lain dan juga untuk tujuan bermegah-megah pada perkara yang tidak sepatutnya.
Setiap umat Islam yang berhutang perlu meletakkan keazaman untuk melunaskan hutang dengan kadar segera. Elakkan budaya menangguh bayaran hutang kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada pemiutang. Rasulullah SAW menjelaskan bahaya berhutang sekiranya pihak yang berhutang gagal menguruskan hutangnya dengan baik. Amalan berhutang boleh menjadikan seseorang sebagai orang munafik kerana sifat-sifat seperti dusta dan mungkir janji. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
"Sesungguhnya seseorang yang (biasa) berhutang, jika dia berbicara maka dia berdusta, jika dia berjanji maka dia mengingkarinya." (Muttafaq ‘alaih).
Jangan letakkan maruah diri pada kedudukan yang rendah disebabkan hutang yang tidak dilunaskan. Duit yang diperoleh pula disalurkan untuk memenuhi keperluan diri sendiri sedangkan hak orang lain diabaikan begitu sahaja. Inilah sifat buruk yang perlu dihindari lebih-lebih lagi melibatkan pihak yang telah membantu ketika berada dalam kesusahan satu ketika dahulu. Sabda Rasulullah SAW:
“Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak adalah zalim.” (HR Bukhari).
Ingat, jika kita mempunyai hutang jangan biarkan ia tertangguh. Segera lunaskan hutang kita. Usah pandang remeh urusan hutang – piutang.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment