PENGARUH GOLONGAN ATEIS MELAYU MELALUI PENULISAN MENDOKTRIN PEMIKIRAN UMAT ISLAM MENGANCAM KEIMANAN

 


Ateis merupakan kelompok yang menolak kepercayaan terhadap Tuhan dan agama. Kewujudan pemikiran ini yang juga dikesan di Malaysia dan berjaya mempengaruhi sebahagian masyarakat Melayu untuk menerima pemikiran ateisme dilihat amat membimbangkan. Disebabkan rukun negara Malaysia meletakkan agama sebagai mekanisme utama untuk warganegara, maka golongan ateis ini dikira telah m elanggar syarat-syarat sebagai warganegara, malah turut menyalahi syariat Islam bagi masyarakat Melayu yang sememangnya telah disinonimkan dengan agama Islam seusai kelahiran.

Hasilnya, terdapat beberapa kumpulan ateis Melayu yang aktif dalam media sosial. Mereka bukan sahaja mengasaskan gerakan ateis Melayu, malah pada waktu yang sama golongan ini juga aktif menulis mengenai pandangan mereka terutamanya mengenai agama Islam melalui media sosial. Golongan ini menganggap agama adalah ciptaan manusia, menafikan sifat ketuhanan yang dimiliki oleh Allah SWT dengan membentangkan hujah-hujah berkaitan saintifik, menafsirkan ayat al-Quran sesuka hati mereka tanpa merujuk kepada ahlinya sehingga menimbulkan salah faham terhadap tauhid dan akidah.

Contohnya seorang pengguna media sosial berstatus ateis Melayu dalam penulisannya menyatakan:
“Let me show you this concept of God does is completely illogical. Let say God does exist, please tell me among the many Gods there are, which God is the most true and worthy of worship? Please give the most thoughtful answer” (Demang Hafiz, 1 November 2022)

Hal ini menunjukkan pandangannya bahawa konsep ketuhanan adalah tidak boleh diterima oleh akal kerana terlalu banyak agama dan Tuhan di dunia ini. Sedangkan di dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak ayat yang memperlihatkan kekuasaan Sang Pencipta, Allah SWT. Jika tidak tercapai dek akal untuk memahami secara mendalam ayat-ayat Allah SWT, boleh sahaja dirujuk pada yang pakar. Namun, hanya kerana ego, malas mengkaji, menafikan kebenaran dan mudah terpengaruh dengan ideologi Barat menjadi penyebab utama segelintir masyarakat Melayu memilih untuk tidak beragama dan menerapkan fahaman ateisme di dalam diri.

Oleh sebab itu, kelompok yang didamping turut memainkan peranan dalam perubahan dan pembentukan diri seseorang. Ibaratnya jika berkawan dengan orang menjual minyak wangi, maka wangilah kita, apabila berkawan dengan tukang besi, percikan apinya boleh mencarikkan baju kita. Justeru itu, tepuk dada tanya iman. Renung-renungkan.

Sumber: Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari – Universiti Sultan Zainal Abidin


Comments