SYAHADAH MENJADIKAN UMAT ISLAM BERTANGGUNGJAWAB MEMPERTAHANKAN AKIDAH BUKAN DIABAIKAN SEWENANGNYA


Malaysia dalam perlembagaannya tidak menafikan hak kebebasan beragama. Namun, kebebasan ini bukanlah satu prinsip bersifat mutlak. Islam menitikberatkan kerelaan dalam menganuti agama ini, sebarang paksaan dan kekerasan merupakan bentuk kezaliman. Namun begitu, setelah seseorang individu melafazkan syahadah, pada saat itulah dirinya tidak dibenarkan sewenangnya dan sebebasnya untuk keluar agama atau murtad.

Isu timbul apabila wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa keluar Islam tidak sepatutnya diletakkan di bawah satu kesalahan jenayah syariah, sebaliknya tindakan itu merupakan suatu hak kebebasan dalam beragama yang wajar dinikmati setiap individu. Rentetan itu, ianya menjadi lebih parah apabila wujud badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menerajui dan meletakkan kebebasan semua agama dalam lingkungan yang sama sehingga tidak membezakan antara Islam mahupun tidak.

Antaranya ialah pertubuhan Islam Interfaith Commision (IFC) atau turut dikenali sebagai Majlis Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Agenda utama penubuhannya adalah meletakkan semua agama dalam kedudukan yang sama sehingga setiap orang bebas untuk menentukan status agama masing-masing serta memastikan tidak ada halangan bagi seorang Muslim untuk murtad.

Justeru itu, umat Islam perlulah pertahankan akidah masing-masing dengan jitu tanpa ada keraguan sedikitpun dengan pegangan ajaran Islam sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika terlalai walau seketika, maka golongan-golongan seperti liberal, sekular mahupun misionari-misionari Kristian khususnya pasti akan mengambil kesempatan menimbulkan keraguan dalam diri umat Islam sehinggalah berjaya memurtadkan. Berhati-hatilah.

Sumber: Jurnal Pengajian Islam- Universiti Malaya


 

Comments