Adab dan ilmu adalah dua perkara yang berbeza namun kedua – duanya sama penting di dalam hidup seorang manusia, apatah lagi seorang Muslim. Kedua – duanya sama penting dan mesti diperoleh dengan kaedah yang betul supaya manusia itu dapat membentuk dirinya dengan proses pendidikan agama. Adab tanpa ilmu satu kerugian manakala ilmu tanpa adab pula satu fitnah, justeru kedua-dua adab dan ilmu perlu dicapai secara sempurna kerana dengan kedua-duanya akan menyempurnakan agama seseorang.
Namun, mana satu yang menjadi keutamaan? Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
Tiada yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat daripada keindahan akhlak. Dan Allah benci kepada orang yang keji mulut dan kelakuan." (HR At – Tirmidzi).
Maka, dapat disimpulkan melalui hadis di atas sebaik – baik perhiasan di dunia itu adalah akhlak dan adab. Sayang sekali, ramai orang pada hari ini berlumba-lumba menggali banyak ilmu hinggakan terlupa mempelajari adab hingga terhakis susilanya. Dalam Islam, kita sebenarnya diajar untuk mengutamakan adab, diikuti dengan ilmu. Malah, sesiapa yang memiliki kedua-duanya seiring, ia umpama satu bonus. Al – Quran menjelaskan keperibadian yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai pengiktirafan yang paling tinggi, iaitu:
"Sesungguhnya engkau memiliki budi pekerti yang paling agung." (QS Al – Qalam: 4).
Tanpa adab, ilmu yang dicari hanya mengundang fitnah kepada diri dan agama. Hal ini kerana adab memainkan peranan utama sebelum menggali ilmu. Bukan semua orang yang berilmu itu beradab tetapi mereka yang berakhlak pasti mempunyai ilmu. Andai adab disulam dengan ilmu, ia akan membentuk sisi peribadi yang sangat hebat dan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Namun begitu, andai seseorang hanya sekadar berilmu tetapi tiada adab, ia akan jadi satu kekurangan atau musibah besar.
Jadi, adab dan akhlak merupakan landasan seseorang untuk memiliki ilmu yang lebih berkat dan mendatangkan manfaat untuk diri sendiri serta orang lain. Adab dan akhlak menjadikan sesuatu ilmu itu lebih dipandang mulia oleh Allah SWT berbanding ilmu yang dipelajari tanpa adab dan akhlak. Sebagai manusia yang masih berusaha menuntut ilmu, kita hendaklah menjaga adab dan akhlak supaya ilmu yang dituntut tidak menjadi sia – sia dan memperoleh pahala ketika menuntutnya.
Sumber: Portal Dewan Tamadun Islam
Comments
Post a Comment