AGAMA ISLAM SEMAKIN HARI SEMAKIN BERDEPAN CABARAN: MEMELIHARA AGAMA ITU IBARAT MENGGENGGAM BARA API

 


Penghujung zaman, semakin ramai yang tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar. Semakin hari agama Islam semakin berdepan dengan cabaran. Bukan sahaja berdepan dengan ajaran sesat, tetapi juga penghinaan dan fitnah ke atas agama Islam itu sendiri serta perbuatan umat Islam itu sendiri yang tidak bersungguh – sungguh dalam agama. Sabda Rasulullah SAW:

"Akan tiba suatu masa pada manusia, apabila orang yang bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api." (HR At – Tirmidzi).

Rasulullah SAW mendatangkan kiasan terhadap suatu zaman yang sangat mencabar sehinggakan orang yang komited dalam melaksanakan ajaran agama terpaksa menghadapi kesusahan dan cabaran yang sangat hebat menerusi hadis ini. Umat Islam pada hari ini diumpamakan sebagai orang yang terpaksa menggenggam bara api. Sekiranya mereka itu tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara agamanya, sudah tentu ia mudah terlucut dan terlepas daripada genggamannya. Hal ini adalah disebabkan suasana persekitaran tidak membantu ke arah menunaikan kewajipan agama, sebaliknya keadaan persekitaran lebih mendorong untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang boleh meruntuhkan akidah serta keimanan kepada Allah SWT.

Realiti yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di Nusantara ini semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa. Ia berlaku berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi pelbagai unsur yang dicampur aduk dengan fahaman lain.

Fenomena pencemaran akhlak dan maksiat begitu berleluasa terutama dalam kalangan remaja dan belia. Kebanyakan pencemaran akhlak berlaku dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Bahkan, sesuatu yang semakin dapat diterima apabila seorang wanita bertudung berpelukan bersama lelaki yang bukan mahramnya. Maksiat dilakukan secara terang-terang tanpa langsung ada sifat malu. Begitu juga pemuda yang waktu malamnya dihiasi hiburan semata-mata seolah-olah hidup ini tiada tujuan serta matlamat. 

Sedar ataupun tidak, perlakuan remaja lelaki dan wanita kini yang songsang itu sebenarnya menunjukkan betapa berjayanya musuh Islam untuk menghancurkan akhlak umat Islam melalui racun 'serangan pemikiran' yang sekian lama dirancang. Ini seperti firman Allah SWT:

"Dan mereka (musuh Islam) terus memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu." (QS Al – Baqarah: 217).

Oleh itu, marilah kita memantapkan akidah kita agar terus kuat dalam menghadapi sebarang serangan daripada musuh – musuh Islam. Akidah yang mantap penyelamat kepada seseorang dalam mempertahankan agamanya. Tidak cukup bagi seseorang Muslim untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT, tetapi pada masa sama masih tidak mengenaliNya. Akidah, tauhid dan iman akan merealisasikan kebahagiaan dan kejayaan umat Islam di dunia serta di akhirat. Orang yang mantap akidahnya tidak akan goyah walaupun badai dan taufan yang datang melanda. Mereka akan tetap mempertahankan agamanya walau dalam keadaan yang sukar seumpama menggenggam bara api yang panas.

Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)


Comments