ATEISME MENYANGKAL KESUCIAN AGAMA MENJADI ANCAMAN KEPADA KEDAULATAN NEGARA


Negara, kerajaan dan ritual agama hanya timbul setelah berlakunya pertembungan dalam kehendak-kehendak tersebut. Tetapi dengan kemajuan teknologi, mereka mempromosikan globalisasi dan ianya menuju ke arah mengecilkan kembali kuasa kerajaan dan fungsi agama untuk memberi ruang kembali kepada kehendak manusia. Akhirnya ego memakan diri dengan mengiktiraf akal manusia adalah terbaik, manakala Tuhan dan agama tidak diperlukan dalam kehidupan seseorang. 

Golongan seperti inilah yang dipanggil sebagai ateis berfahaman ateisme iaitu tidak mengakui kewujudan Tuhan dan beriman pada sains sahaja yang kebergantungannya pada akal manusia semata-mata. Ateis adalah antara golongan yang telah merebut peluang kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi secara aktif bagi melebarkan ideologi mereka. Perkembangan ini dipercayai berpunca daripada keinginan kepada kebebasan tanpa sempadan lantaran agama dilihat sebagai sesuatu yang mengganggu kebebasan manusia.

Hakikatnya, doktrin tidak bertuhan ini menjadi ancaman kepada Malaysia. Gerakan ateis tidak seharusnya dibiarkan kerana ia mengancam dan melanggar prinsip kedaulatan undang-undang. Membiarkan mereka bebas menyuarakan pandangan umpama membiarkan mereka menguasai Perlembagaan dan undang-undang. Ateisme adalah ‘tidak berperlembagaan’ kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan tidak membenarkan kebebasan tidak beragama. Sekiranya ada pihak mencuba untuk menyebarkan ideologi, doktrin atau menyangkal kesucian agama-agama lain sepertimana Ateisme, maka boleh disabit di bawah Akta Hasutan 1948.

Sumber: Jurnal al-Takamul al-Ma’rifi – Universiti Sultan Azlan Shah


 

Comments