BANJIR IBARAT “MEMBERSIHKAN LUMPUR NEGATIF”: PANDANGLAH MUSIBAH SEBAGAI SATU TITIK PENYATUAN HATI


Banjir yang melanda negeri – negeri Pantai Timur, Utara dan sebahagian kecil kawasan Selangor telah mengakibatkan banyak kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, tempat perlindungan dan makanan.  Perasaan resah dan hiba sewaktu berhadapan situasi tersebut adalah lumrah manusia lebih-lebih lagi apabila melihat kediaman yang menjadi tempat berlindung ditenggelami air dan harta benda rosak dan musnah akibat banjir. 

Bagi orang Mukmin, setiap musibah yang dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketaatan mengangkat darjat keimanan di sisi Allah SWT. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (QS Al – Baqarah: 155).

Musibah yang melanda dapat menghapuskan dosa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:

"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahannya."  (HR Bukhari).

Setiap Mukmin mesti menerima ujian dan musibah dalam kehidupan dengan bersangka baik terhadap rahmat Allah SWT serta bermuhasabah atas dosa dilakukan sebaliknya menjauhi prasangka buruk dengan menyalahkan takdir. Islam menganjurkan manusia yang menghadapi musibah supaya memohon pertolongan daripada Allah SWT melalui sifat sabar. 

Pandanglah musibah yang melanda ini sebagai satu titik penyatuan hati. Ini kerana banjir yang melanda ini diibaratkan seperti membersihkan lumpur negatif di dalam diri kita. Berdoalah agar kita terus kuat dan tidak patah semangat dalam melalui hari – hari yang mendatang.

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (7 Disember 2024)

Comments