BANTUAN KEWANGAN BAGI JEMAAH HAJI MUASSAH DITERUSKAN: PENINGKATAN 20 PERATUS BAGI GOLONGAN B40

 


Semalam Tabung Haji (TH) mengumumkan kadar bayaran baru bagi kos ibadah haji bagi tahun 2025 meningkat sebanyak 20 peratus mengikut kategori jemaah. Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024. 

Manakala kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada 2024. Sementara bayaran bagi bakal haji kumpulan T20 yang kali pertama kekal RM33,300 pada 2025 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024. Peningkatan tersebut susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

Satu jumlah yang agak besar oleh sesetangah golongan, namun demi mencapai ibadah tertinggi dalam ibadah, maka keredhaan itu amat diperlukan. Sudah menjadi impian setiap Muslim untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan mengerjakan ibadah haji. Bahkan, Allah SWT juga sudah memerintahkan setiap hambaNya untuk mengerjakan haji bagi yang berkemampuan. Allah SWT berfirman:

 “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (QS Ali ‘Imran: 97).

Namun, dalam situasi kini di mana kos ibadah haji yang meningkat, syarat berkemampuan yang telah ditetapkan oleh syarak haruslah diteliti dan ditepati oleh mana-mana bakal haji bagi mengelakkan sebarang kesusahan dan keuzuran ketika melaksanakan ibadah haji. Ini kerana para jemaah haji memerlukan satu persiapan yang rapi sebelum melaksanakan ibadah haji agar haji yang dilaksanakan itu dapat dilakukan dalam keadaaan tenang dan tenteram.

Lakukanlah perkiraan kos dengan tepat agar dan mulalah menyimpan sedikit demi sedikit. Walaupun persyaratan itu bagi yang berkemampuan, namun keinginan hati untuk bertamu ke rumah Allah SWT demi mencapai peringkat tertinggi ibadah itu adalah titik segala – galanya. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments