Walaupun artikel pernah menyentuh isu tentang hutang dan kewajipan untuk membayarnya, akan tetapi isu kali ini bersangkutan dengan hutang demi sebuah kehidupan yang glamor.
Seperti semua sedia maklum baru - baru ini terdapat laporan mengenai seorang selebriti yang mempunyai hutang terhadap kerajaan sehinggakan dinyatakan muflis. Sebelum itu juga, negara hangat dengan kes usahawan yang juga sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan juga hutang perniagaan.
Antara sedar atau tidak, sesetengah daripada kita sanggup berhutang demi meraih populariti di media sosial. Mereka sanggup menanggung beban berat hutang demi meyakinkan orang awam tentang produk yang mereka jual. Perbuatan ini sememangnya sangat tidak bertanggungjawab dan zalim kerana melibatkan dana awam yang seharusnya menjadi hak kepada yang layak. Sabda Rasulullah SAW:
"Menunda - nunda membayar hutang bagi orang yang mampu adalah satu kezaliman." (HR Bukhari).
Tahukah kita bahawa ada azab yang menanti kepada si penghutang? Ini antara empat azab orang yang tidak membayar hutang:
1) Segala amal kebaikannya akan berganti kepada si pemiutang.
2) Dihukumi sebagai pencuri. Ini kerana dia telah mengambil hak orang lain tanpa rela.
3) Dosanya tidak terampun. Rasulullah SAW bersabda:
"Dosa orang yang berhutang sekiranya tidak dilangsaikan tidak akan diampunkan oleh Allah SWT meskipun mati syahid." (HR Muslim).
4) Jenazahnya tidak akan disolatkan. Hal ini berlaku ketika di zaman Rasulullah SAW di mana ketika Baginda ingin melakukan solat jenazah tetapi diberitahu bahawa si mati masih mempunyai hutang. Lalu, Rasulullah SAW menolak untuk melakukan solat jenazah tersebut sehingga sahabat si mati melunaskan hutangnya.
Jangan bermain api dengan hutang piutang kerana ia akan dituntut di akhirat kelak. Usah berhutang demi populariti. Ini hanya akan mendatangkan beban yang panjang.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment