FIQH BANJIR: PELAKSANAAN IBADAH KETIKA MENGHADAPI MUSIM BANJIR

 


Ada yang bertanya, bagaimana hendak melaksanakan ibadah ketika menghadapi musim banjir? Bolehkah diqada’ atau dijamakkan sahaja ibadah kerana sedang menghadapi banjir dan tidak ada tempat yang selesa untuk beribadah? Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab al – Syafie adalah tidak boleh kerana mangsa - mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah, dan sebagainya. Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjamaah pada setiap solat fardhu. 

Untuk pengetahuan semua, terdapat beberapa kaedah dalam beribadah ketika menghadapi musim banjir. Melalui fiqh ibadah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 3 Februari 2016, air banjir dikira sebagai air mutlak walaupun berwarna coklat disebabkan kuantiti air yang banyak melebihi 2 qullah (270 Liter). Jadi ia boleh digunakan untuk beristinjak, berwudhuk, mandi janabah dan mandi jenazah. Sementara pakaian yang terkena lumpur sah dibawa solat kerana lumpur adalah suci.

Selain itu, terdapat persoalan adakah boleh dan sah sekiranya melaksanakan solat di dalam air? Jawapannya sah dan wajib rukuk dan sujud seperti biasa sekiranya mampu kerana paras air kerana paras air tidak terlalu tinggi. Namun, sebahagian pendapat mengharuskan untuk solat dengan isyarat sahaja seperti menundukkan sedikit kepala lebih daripada rukuk tetapi tidak sampai ke dalam air sebagai isyarat bagi sujud.

Bagaimana pula dengan pelaksanaan solat Jumaat dan pelaksanaan jenazah yang mati lemas akibat banjir? Jawapannya wajib dilaksanakan solat Jumaat sekiranya tempat penempatan mangsa banjir mencukupi 40 orang dan wajib dimandikan ke atas jenazah yang mati tenggelam atau lemas walaupun keadaannya masih basah. Orang yang mati lemas dikira sebagai syahid akhirat. Sabda Rasulullah SAW:

“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Walaupun kita sedang berhadapan dengan musibah banjir, namun pelaksanaan ibadah kepada Allah SWT tetaplah diutamakan walau dalam keadaan apa pun kecuali yang mudarat. Jangan disebabkan alasan kita sedang menghadapi musibah maka kita lupa untuk bersujud kepadaNya. Ingatlah, Allah SWT itu Maha Berkuasa, Dia yang berkuasa ke atas alam semesta ini. Jika Allah SWT mengkehendaki ia terjadi, maka ia terjadi, kun fayakun.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments