Tular sejak kelmarin mengenai sebuah video yang berlegar – legar di media sosial memperlihatkan bagaimana bantuan kepada mangsa – mangsa banjir yang diedarkan oleh pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming diselongkar semula oleh sebahagian ahli jawatankuasa pusat pemindahan sementara. Akibatnya, bantuan yang diberikan tidak kesampaian dan para mangsa hanya menerima bungkusan biskut kering sebagai bantuan.
Antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah. Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan. Rasulullah SAW bersabda:
"Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya." (HR Ahmad).
Bahkan, Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaikbaiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (QS An – Nisa: 58).
Orang yang pecah amanah tidak boleh dipercayai memikul amanah serta melakukan pengkhianatan ketika berkhidmat kepada masyarakat, bermakna ia bukan benar-benar beriman kepada Allah SWT. sekiranya kita tidak menjalankan amanah, bagaimana kita mahu meraih keredhaan Allah SWT? Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya sifat amanah bertunjang dalam hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan, maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan sunah." (HR Muslim).
Maka dari itu, kita semua perlu mengambil iktibar daripada peristiwa di atas. Jadikan ia sebagai pengajaran di masa depan, apabila diberikan amanah maka wajiblah kita untuk menunaikannya. Jangan ada soal pilih kasih atau pilih bulu dalam menghulurkan bantuan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment