Sudah menjadi tuntutan agama Islam bagi seorang lelaki dan seorang wanita untuk menjaga ikhtilat dalam pergaulan mereka. Namun, apa yang menyedihkan masih terdapat segelintir daripada kita yang memandang mudah soal penjagaan dalam pergaulan. Seperti video yang diunggah dalam akaun media sosial yang memperlihatkan sekumpulan remaja lelaki dan juga wanita yang berada di taman tema air tanpa ada batasan dan bercampur. Apa yang lebih menyedihkan terdapat segelintir remaja perempuan bertudung dan dengan bangga memuat naik video mereka sedang berseronok di tempat mandi yang bercampur lelaki dan wanita dengan alunan muzik techno yang kuat.
Allah SWT berfirman:
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya.” (QS An – Nur: 30 – 31).
Menjaga ikhtilat itu sudah menjadi hukum wajib kepada kita. Ada sebab mengapa Allah SWT melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang boleh berkahwin). Ini bagi mengelakkan berlakunya masalah akhlak dan sosial seperti zina dan khalwat. Tidakkah kita sedar bahawa ini akan memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat? Menurut data statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu. Daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.
Bukankah ini satu jumlah yang menakutkan? Adakah kita mahu jumlah ini berterusan meningkat tanpa ada langkah pencegahan? Jangan sesekali kita mengikut budaya barat konon dengan alasan zaman sudah maju ataupun ini hak masing – masing untuk berhubungan. Hukum tetap hukum! Pantaulah setiap ahli keluarga kita agar tidak terjerumus dalam kancah maksiat. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.
Ingatlah! Syaitan sentiasa mahu menyesatkan keturunan Nabi Adam AS. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.” (HR Muslim).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment