KEIMANAN DIRI SENDIRI PUNCA UTAMA MURTAD, BUKANNYA SALAH AUTORITI DAN PERUNDANGAN

 

 
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama seperti agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain. Bangsa Melayu hanya menganut satu agama iaitu Islam dan adalah asing bagi orang Melayu sekiranya bukan beragama Islam. Selari dengan definisi ‘Melayu’ menurut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, seseorang Melayu itu mestilah beragama Islam.

Namun begitu, bertitik tolak dari evolusi sejarah masyarakat negara ini yang bermula dengan kerajaan Melayu, kemudian dijajah oleh kuasa-kuasa asing serta aspek perkembangan pola kehidupan dan kependudukan masyarakat, maka dari sinilah bermula masalah pertukaran agama berlaku di negeri-negeri di Malaysia. Meskipun demikian, faktor sosial ini tidak boleh dijadikan alasan untuk seseorang Melayu-Islam untuk murtad kerana bukan sahaja maruah Bangsa yang terjejas, akidah turut terpesong dari pensyariatan agama Islam yang sebenar. 

Perbuatan murtad ini bukan sahaja melibatkan orang awam, malah individu yang mempunyai pengaruh turut terjebak dengan gejala keluar Islam. Dikhuatiri akibat perbuatan individu ‘public figure’ yang sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik pada masyarakat, boleh mempengaruhi peminat atau penyokongnya untuk turut keluar Islam kerana taksub mengidolakannya. Oleh sebab itu, untuk menjadi ‘public figure’ mestilah diiringi dengan tanggungjawab dan personaliti yang baik kerana setiap percakapan dan perbuatan akan dinilai dan diikuti oleh masyarakat.

Justeru itu, golongan Melayu- Islam tidak perlulah bergantung pada autoriti untuk penguatkuasaan dan menyalahkan kelompongan perundangan Islam Malaysia yang menjadi antara punca utama berlakunya gejala murtad, tetapi tanyalah pada iman, mengapa akidah yang wajib digenggam teguh dibiarkan goyah dan mudah dipengaruhi dengan gejala yang sesat?

Sumber: Vot RMC 78097- Universiti Teknologi Malaysia


Comments